CIK Bunga ada tertengok video anggota kumpulan Dolla, Syasya di TikTok baru-baru ini.
Video itu merupakan rakaman nyanyiannya bersama rakan artis, Nuha Bahrin. Kedua-duanya berduet menyanyikan sebuah lagu Arab berjudul Tamaly Maak yang mana penyanyi asalnya ialah Amr Diab.
Merdu sungguh suara Syasya. Suara asli tahu, bukan suara mesin.
Cik Bunga pasti menerusi video itu pasti ramai yang terubat hati dapat dengar suara Syasya setelah meninggalkan Dolla yang menyaksikan dia
pernah mendunia bersama tiga sahabat lain
iaitu Tabby, Sabronzo dan Angel.
Dalam hati Cik Bunga, ada juga terfikir, adakah ini satu petanda daripada Syasya untuk kembali aktif dalam bidang seni muzik?
Ya, sebelum ini memang kita pun ada dengar yang Syasya kata dia tidak mahu terbabit lagi dalam bidang seni dan masa itu dia pun baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Nasrullah.
Mungkin dia cuma hendak fokus kepada keluarga. Maklum sajalah, Syasya pun sudah bergelar seorang ibu. Jadi, logik sahaja dia berfikiran dan membuat keputusan seperti itu.
Namun, setelah dia juga mengeluarkan lagu raya solonya kelmarin, Cik Bunga pasti, ia sebenarnya satu permulaan.
Molek juga jika Syasya teruskan kerjaya dalam bidang seni ini secara solo. Bukannya Syasya tak ada kelompok peminat tersendiri.
Terima kasih kepada Dolla kerana bermula dengan mereka, Syasya dah bina jenama sendiri dan itu bagi Cik Bunga adalah satu peluang yang sangat baik untuk Syasya.
Tetapi itu pun jika Syasya benar-benar mahu kembali aktif menyanyilah. Kalau dia masih ragu-ragu atau tidak mahu, kita semua faham saja. Syasya mesti ada sebab yang kukuh bukan? Apa yang penting, kita sokong sahaja mana yang baik. Betul tak?