SWM jangka kutip 500 tan sisa pukal pasca banjir

SWM jangka kutip 500 tan sisa pukal pasca banjir

MOHD. NORLISAM Mohd. Nordin (kanan) melihat petugas SWM Environment membersihkan rumah sampah di Vila Rose, Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 500 tan metrik sisa banjir dijangka dikutip dalam Operasi Pembersihan Pasca Banjir dari kawasan terjejas bencana alam itu membabitkan empat daerah di negeri ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, operasi yang membabitkan 200 pekerja dan 40 kenderaan bermula sejak Jumaat lalu melibatkan kawasan bandar raya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Kota Tinggi dan Kluang.

“Kita jangkaan sehingga hari Sabtu ini, anggaran kurang seminggu sebelum Syawal sebanyak 500 tan metrik sisa dapat dibersihkan. Dalam tempoh lima hari operasi dijalankan, lebih 250 tan metrik sisa banjir seperti almari, katil dan tilam yang rosak dibersihkan di kawasan terjejas,” katanya ditemui semasa memantau perkembangan Operasi Pembersihan Pasca Banjir di Taman Tampoi Indah, di sini hari ini.

Mohd. Norlisam berkata, antara kawasan kutipan sisa yang tinggi adalah di Taman Tampoi Indah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Kampung Seri Jaya dan Kampung Seri Serdang, Kampung Sepakat Jaya di Johor Bahru dan Kampung Sinaran Baru di Kulai.

“Kita memohon agar semua mangsa banjir dan sukarelawan yang terlibat untuk mengumpulkan sisa di hadapan rumah, bagi melancarkan proses kutipan sisa.

“Dua tapak pemindahan sementara dibuka di Taman Tampoi Indah di sini dan Kampung Pasir, Skudai untuk kutipan sisa banjir bagi melancarkan pembersihan dari rumah ke rumah agar pembersihan lebih berkesan dan dapat dilakukan sebelum ketibaan Syawal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya