BESUT: Seorang peniaga di Bazar Ramadan Kuala Besut di sini, tidak menyangka bahawa ‘Susyi Mulut Melayu’ yang diinovasikannya mengikut cita rasa tempatan mendapat permintaan tinggi sehingga mencecah 2,000 biji sehari, sepanjang Ramadan.
Sharuddin Sabri, 36, berkata, dia menjual 60 jenis susyi yang rata-ratanya dibuat mengikut masakan Melayu.
“Lazimnya sushi dibuat menggunakan makanan laut mentah, tetapi saya menginovasikannya menjadikan ‘susyi masak’, yang mana lauk digunakan dimasak terlebih dahulu bagi menjamin tahap kebersihan dan ketahanan makanan, selain mengelakkan keracunan makanan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Menurut Sharuddin, semua 60 jenis susyi dijualnya dibuat sendiri antaranya susyi ayam telur masin, susyi ayam Korea, susyi rendang daging, susyi daging takoyaki dan susyi cili manis.
Katanya, jumlah itu meningkat sebanyak 40 jenis berbanding hanya 20 jenis pada tahun-tahun sebelumnya.
“Semua jenis susyi ini dijual pada harga RM1 sebiji. Harga ini masih kekal selama empat tahun, meskipun harga barangan basah naik berkali-kali. Alhamdulillah sejak awal Ramadan, kira-kira 1,500 hingga 2,000 biji susyi dijual setiap hari,” katanya. – UTUSAN