PETALING JAYA: Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan diwujudkan bagi mengawal selia perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian atau BNPL yang menyaksikan penggunaan ketara dalam kalangan rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, suruhanjaya itu merupakan antara rangka kawal selia BNPL oleh pihak kerajaan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna yang bakal diluluskan di Parlimen kelak.
Katanya, undang-undang itu merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mempertingkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.
“Di bawah Akta Kredit Pengguna kelak, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti yang ditetapkan termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit yang adil dan memberi peringatan yang kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.
“Sekiranya RUU ini diluluskan, ia akan ditadbir oleh satu badan berkuasa berwibawa baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna di bawah Kementerian Kewangan.
“Untuk makluman, Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama bagi RUU Kredit Pengguna di Dewan Rakyat pada 4 Mac. RUU ini dicadangkan untuk dibentangkan pada mesyuarat yang akan datang,” katanya di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai usaha kerajaan bagi mengawal aktiviti agensi pemberi kredit bukan bank seperti perkhidmatan BNPK.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, menerusi RUU itu, pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit dikehendaki mematuhi kepada keperluan pelakuan bagi memastikan mereka mengamalkan pemberian dan perkhidmatan kredit yang bertanggungjawab serta adil bagi melindungi pengguna kredit.
“Ini termasuklah melakukan penilaian kemampuan berhutang terhadap pengguna kredit. Penilaian ini merujuk kepada kemampuan membayar balik hutang setelah mengambil kira semua komitmen kewangan, corak perbelanjaan dan sejarah pembayaran hutang bakal peminjam,” katanya.
Katanya, undang-undang tersebut menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank seperti syarikat yang menawarkan BNPL.
Katanya ia juga membabitkan syarikat pajakan dan pemfaktoran serta pemberi perkhidmatan kredit seperti syarikat pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, agensi pengutipan hutang dan agensi kaunseling dan pengurusan hutang.
Menurut Amir Hamzah, terdapat 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif setakat akhir Disember 2024 dengan majoriti terdiri daripada golongan yang berumur antara 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan
“Bagi separuh tahun kedua 2024, transaksi BNPL berjumlah RM7.1 bilion, meningkat dengan ketara berbanding dengan RM4.9 bilion bagi separuh tahun pertama 2024,” katanya.
Katanya, terdapat 12 syarikat yang menawarkan skim BNPL di Malaysia pada masa ini.-UTUSAN