PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan suntikan RM1.1 billion kepada Sapura Energy Bhd (SEB) bukan satu bentuk ‘bailout’ (suntikan kewangan) sebaliknya ia berbentuk pelaburan strategik.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia adalah satu pelaburan strategik yang berbeza sifatnya daripada bailout seperti yang berlaku pada era Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri).
Beliau berkata, beliau mengambil maklum bahawa ada beberapa perkara dibangkitkan termasuk oleh salah satu akhbar yang mendakwa ini adalah satu bentuk bailout.
“That is a real bailout. Ini bukan. Ini Madani (ini zaman Kerajaan Madani, bukan Mahathir (bukan zaman pimpinan Dr Mahathir).
“Seperti yang semua sedia maklum, semalam SEB telah mengeluarkan satu kenyataan dan memaklumkan pelaburan strategik Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu adalah dalam bentuk langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS),” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Katanya, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MoF) juga dimaklumkan bahawa suntikan kewangan oleh PNB itu adalah pelaburan bersyarat.
Fahmi berkata, pelaburan PNB ini datang dengan syarat-syarat khusus di mana terma RCLS itu sendiri bermaksud ia sama ada boleh ditebus kemudian ataupun diubah suai menjadi saham yang dipegang.
“Kita sedia maklum bahawa hasrat PNB adalah untuk mencipta nilai dan merealisasikan keuntungan yang akan dipulangkan kepada pendeposit PNB dalam pelbagai bentuk instrumen simpanan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan lain-lain,” katanya.
“Pelaburan itu akan digunakan khusus untuk menguruskan tunggakan yang perlu dibayar oleh SEB kepada lebih 2,000 vendor dimana 80 peratus daripadanya adalah bumiputera.
“Jadi di pihak kerajaan secara umumnya kita akan teliti tapi kita akan amalkan prinsip Madani dimana ia bukan duit percuma,” katanya.
Katanya, ketika ini, SEB telah berubah dari segi pengurusannya termasuk ketua pegawai eksekutifnya dan pasukan pentadbirannya.
Jelasnya lagi, kerajaan mahu SEB berada dalam satu kedudukan yang lebih mapan dan amat penting untuk entiti itu terus memainkan peranan dalam bidang minyak dan gas.
“Tanpa ada SEB, apakah kita bersedia untuk menggunakan perkhidmatan vendor-vendor asing jadi di sini perkiraan-perkiraan termasuk hal seperti itu ada dipertimbangkan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan SEB memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi RCLS pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Dalam satu kenyataan, SEB menjelaskan pihaknya telah memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya, mengukuhkan komitmen SEB terhadap kemampanan jangka masa panjang. – UTUSAN