PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu.
Perdana Menteri berkata, suntikan dana ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu akan menguruskan dengan lebih baik dan membayar semula pinjaman itu apabila mendapat keuntungan.
“Apakah dana ini dana hangus? Tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu mudah-mudahan akan mengurus dengan lebih baik.
“Apabila (SEB) mendapat keuntungan, (mereka) membayar semula dana suntikan itu, pulangkan (semula) RM1.1 bilion, jadi ini bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dana RM1.1 bilion kepada SEB bukan satu bentuk ‘bailout’, sebaliknya bertujuan membantu vendor yang terkesan akibat masalah kewangan syarikat tersebut.
Beliau berkata, kerajaan memulakan langkah dengan menjalankan audit forensik bagi mengenal pasti permasalahan sebenar syarikat itu sebelum membuat keputusan.
Katanya, kerajaan melantik syarikat Ernst & Young untuk menjalankan audit forensik bagi memastikan ketelusan dalam proses ini dan setiap sen yang diberikan akan dipantau.
Jelasnya, sekiranya terdapat sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa, siasatan akan diteruskan tanpa kompromi.
“Saya sendiri tidak senang dengan cara kita menyelamatkan syarikat besar sedangkan puluhan ribu syarikat kecil sering terbiar tanpa pembelaan.
“Tetapi dalam kes ini, kita harus memahami bahawa suntikan dana ini bukan untuk menyelamatkan individu tertentu, sebaliknya bagi memastikan vendor yang telah bekerja mendapat bayaran mereka,” katanya.
Menurut Anwar, sebanyak 80 peratus daripada dana tersebut akan digunakan untuk membayar lebih 2,000 vendor yang telah melaksanakan kerja mereka tetapi masih belum menerima bayaran.
“Jika syarikat ini ditutup, tiada syarikat tempatan lain yang mampu mengendalikan operasi dalam industri minyak dan gas negara. Ini bermakna semua kerja di sektor ini terpaksa diserahkan kepada syarikat asing,” jelasnya.
Tambah beliau, keputusan ini bukan sesuatu yang mudah kerana kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip menolak sebarang usaha menyelamatkan syarikat yang bermasalah tanpa kawalan ketat.
“Kita mahu memastikan industri minyak dan gas negara terus berkembang tanpa bergantung sepenuhnya kepada syarikat asing,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan SEB memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi RCLS pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Dalam satu kenyataan, SEB menjelaskan pihaknya telah memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya, mengukuhkan komitmen SEB terhadap kemampanan jangka masa panjang.
SEB sebelum ini berdepan krisis kewangan yang menyebabkan syarikat itu berisiko kehilangan operasi serta memberi kesan kepada ribuan vendor tempatan. – UTUSAN