Sultan Perak hadiri majlis sambutan Nuzul al-Quran - Utusan Malaysia

Sultan Perak hadiri majlis sambutan Nuzul al-Quran

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan serahan bantuan hari raya MAIPk untuk asnaf, fakir dan miskin pada majlis sambutan Nuzul al-Quran dan berbuka puasa di Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri Perak tahun 2025 dan majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini.

Majlis bermula pada pukul 6.50 petang dimulakan dengan tazkirah khas Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr. Azmil Hashim, diikuti bacaan ayat al-Quran serta majlis tahlil dan doa selamat sebelum berbuka puasa.

Majlis turut diserikan de­ngan acara penyampaian serahan bantuan Hari Raya Aidilfitri MAIPk tahun 1446H/2025M oleh Sultan Nazrin buat 42,825 orang penerima terdiri daripada asnaf, fakir dan miskin di seluruh Perak.

Dana zakat berjumlah RM12.84 juta itu diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah sebagai mewakili para penerima.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, penerima bantuan dipilih daripada senarai asnaf, fakir dan miskin yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri Perak.

“Selain itu, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan bantuan hemodialisis asnaf, fakir dan miskin turut menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri di bawah dana zakat MAIPk,” katanya.

Program berbuka puasa yang diadakan dalam pekara­ngan masjid melibatkan 1,000 orang yang hadir.

Majlis kemudian diakhiri dengan solat Isyak, solat Tarawih dan jamuan moreh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya