KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri hari ini bersama-sama kira-kira lebih 1,500 jemaah di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut menunaikan solat ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta beberapa ahli Exco, kepimpinan dan pentadbiran negeri.
Khutbah yang dibacakan oleh Imam Utama Masjid Ubudiah, Badrul Husaini Baharudin menasihati masyarakat berbelanja secara berhemah serta menjaga keselamatan semasa menggunakan jalan raya selain mendoakan Gaza dan Palestin yang ditekan Israel.
Sebaik selesai menunaikan solat, Sultan Nazrin menziarahi pusara ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di Makam Diraja masjid berkenaan sebelum berangkat pulang.
Jemaah tidak melepaskan peluang untuk bersalam dengan baginda selepas solat sunat.
Baginda kemudian bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 1446H/2025 di Istana Iskandariah di sini dengan kehadiran lebih 500 tetamu. – UTUSAN