BAGAN DATUK: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Masjid Tuminah Hamidi di sini hari ini.
Baginda menyempurnakan upacara penanaman pokok Bunga Tanjung atau Mimusops elengi sebagai simbolik perasmian masjid tersebut.
Sultan Nazrin seterusnya berbuka puasa bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan lebih 2,500 jemputan.
Baginda turut menunaikan solat Maghrib sebelum berangkat ke majlis santapan diikuti dengan solat Isyak, solat Terawih dan jamuan moreh.
Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid menyantuni dan menyumbang duit raya kepada 300 pelajar tahfiz dan anak yatim selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang mengutamakan nilai kesejahteraan, ihsan dan hormat untuk semua lapisan masyarakat.
Masjid Tuminah Hamidi mula dibina pada tahun 2017 dan siap pada tahun 2023.
Masjid tersebut dinamakan sempena nama ibu bapa Ahmad Zahid iaitu Almarhum Raden Hamidi Abdul Fatah dan Almarhumah Tuminah Abdul Jalil.
Masjid tersebut menampung 5,000 jemaah dan dilengkapi dengan dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran serta bilik persidangan dua tingkat.
Majlis perasmian masjid dan berbuka puasa bersama Sultan Perak anjuran KKDW dan kerajaan negeri Perak. – UTUSAN