Sultan Nazrin kunjungi bazar Ramadan Stadium Perak - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin kunjungi bazar Ramadan Stadium Perak

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah mengunjungi bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke bazar Ramadan Stadium Perak di sini menjadi kejutan istimewa kepada para peniaga dan pelanggan bazar tersebut.

Rata-rata mereka teruja dan gembira apabila disapa oleh baginda yang dilihat ceria dan mesra bertanya khabar.

Dalam kunjungan pada pukul 4.20 petang itu, baginda berkenan melawat gerai-gerai di bazar berkenaan sambil membeli beberapa juadah untuk berbuka puasa.

Antara juadah yang dibeli baginda termasuklah nasi beriani kambing, takoyaki, sate, apam balik, serunding, kuetiau goreng, air kelapa laut dan air longan.

Keberangkatan baginda ke bazar Ramadan itu disambut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Sementara itu, peniaga Chennai Biriyani, Muhammad Farhan Abdul Rahim, 33, berkata, dia tidak menyangka usahanya menggunakan pembesar suara berjaya menarik perhatian Sultan Nazrin untuk singgah ke gerainya.

Katanya, kesudian baginda singgah dan membeli lima bungkus nasi beriani kambing itu akan menjadi kenangan terindah untuknya yang pertama kali berniaga bazar Ramadan Stadium Perak.

“Saya ada dengar Sultan Nazrin akan datang ke sini tapi tak sangka sebenarnya. Jadi bila lihat tuanku tiba, saya cuba ikhtiar guna pembesar suara untuk tarik perhatian baginda.

“Alhamdulillah, tuanku sudi singgah dan beli juadah yang dijual. Saya mahu tuanku rasa nasi beriani kami,” katanya.

Sultan Nazrin meluangkan masa kira-kira 20 minit di bazar Ramadan yang menempatkan 200 gerai dan lapan ‘food truck’ sebelum beredar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya