SHAH ALAM: Senarai acara sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 akan dimuktamadkan sepenuhnya pada Ogos depan.
Keputusan itu turut melibatkan tambahan acara sukan lain termasuk pickleball yang dicadangkan Selangor sebagai tuan rumah.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi berkata, sebanyak 28 acara sukan teras masih kekal dipertandingkan pada temasya itu tahun depan.
Namun, jelasnya, perbincangan lanjut akan terus dilakukan bersama semua Majlis Sukan Negeri bagi tambahan acara lain.
“Ia termasuk melibatkan sukan pickleball yang memerlukan persetujuan untuk menjadi salah satu acara Sukma.
“Perkara itu akan turut dibincangkan Jawatankuasa Tertinggi Sukma sebelum senarai penuh acara dimuktamadkan pada Ogos nanti,” katanya selepas melancarkan program Sambutan Hari Raya Aidilfitri di pusat beli belah i-City di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan satus pickleball sebagai acara Sukma itu belum diputuskan dan masih bergantung kepada undian negeri-negeri terlibat.
Selangor mempunyai cadangan senarai acara namun ia perlu mendapat kelulusan daripada jawatankuasa Sukma.
Berdasarkan syarat utama, setiap acara yang mahu dipertandingkan mesti mempunyai sekurang-kurangnya penglibatan enam negeri.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Najwan, pihaknya turut menunggu hasil perbincangan berkaitan status acara pickleball berkenaan.
“Kita sebagai tuan rumah perlu bersikap adil kepada semua dan tidak bersifat kenegerian semata-mata.
“Pickleball memang dikenali di Selangor dan beberapa negeri lain juga mula berminat bermain sukan itu. Namun, kita mahu ia turut disertai semua terutama atlet pelapis masa depan,” ujarnya.
Tambah beliau, perbincangan turut akan melibatkan penganjuran Para Sukma 2026 terutama berkaitan senarai acara yang bakal dipertandingkan kelak.
“Setakat ini, sebanyak 10 acara sukan teras dipersetujui antaranya badminton, memanah dan olahraga.
“Selain itu, kita menerima cadangan untuk mempertandingkan acara e-sukan kepada atlet para pada Sukma kali ini,” katanya.
Untuk rekod, SUKMA 21 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos lalu menyaksikan Selangor berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa. – UTUSAN