Suci Sekeping Hati hidup semula selepas lebih dua dekad - Utusan Malaysia

Suci Sekeping Hati hidup semula selepas lebih dua dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad diterbit dan dipopularkan kumpulan Saujana, lagu Suci Sekeping Hati dihidupkan semula dalam versi lebih terkini.

Kelahiran semula lagu yang digubah Nazrey Johani dan lirik oleh Pahrol Md. Juoi ini mendapat sentuhan kontemporari dengan iringan Orkestra Tradisional Malaysia pimpinan Yazid Zakaria.

Tambah menarik lagi, versi terbaharu lagu ini menggabungkan Saujana dengan penyanyi terkenal, Wany Hasrita dan pengacara dan penceramah motivasi, Amin Idris.

Pembabitan Amin dalam lagu ini membuka mata ramai pihak tentang bakat nyanyiannya yang mungkin sebelum ini tidak diketahui umum.

“Lagu ini sangat dekat di hati saya sejak dulu. Saya cuba berikan yang terbaik bila diberi peluang untuk menyanyikannya semula agar mesej lagu ini dapat terus disampaikan kepada generasi baharu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Wany menyifatkan penglibatan dalam menyanyikan semula lagu itu dengan idolanya, kumpulan Saujana dan Amin sebagai peluang istimewa.

“Saujana dan Amin mengajar saya tentang profesionalisme, seni nyanyian, penghayatan lagu khususnya untuk lagu-lagu religi atau Islamik.

“Saya harap pendengar akan merasai keindahan lagu ini seperti yang kami rasakan semasa merakamkannya,” katanya.

Anggota kumpulan Saujana, Suffian Amrin pula menganggap penglibatan Amin dan Wany menyuntik pembaharuan kepada lagu berkenaan.

“Kami terharu kerana berpeluang untuk hidupkan semula lagu ini bersama Amin dan Wany.

“Mereka telah membawa gaya baharu kepada lagu ini tanpa menghilangkan roh asalnya,” katanya.

Suci Sekeping Hati versi terbaharu ini mula dilancarkan di semua platform muzik digital sejak 1 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya