BATU PAHAT: Sepasang suami isteri maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer (KM) 128.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), arah Utara berhampiran Yong Peng, pagi semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 6.30 pagi itu, sejurus kereta dinaiki pasangan itu melanggar pembahagi jalan, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang berada di belakang merempuh kenderaan mangsa.
Mereka yang maut dikenali Mohd. Shahrul Nizam Mohd. Ali, 24, dan isterinya, Nursuhada Kartika Razak, 23, dari Taman Kota Jaya, Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, ketika kejadian kedua-dua kenderaan dalam perjalanan menuju ke arah yang sama.
“Kereta dinaiki pasangan suami isteri itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar penghadang lebuh raya lalu berpusing beberapa kali.
“Sebuah SUV yang berada di belakang gagal mengelak lalu melanggar kenderaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahrulanuar berkata, akibat pelanggaran itu, pasangan suami isteri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Manakala pemandu SUV yang berusia 50-an mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. – UTUSAN