KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri didakwa di dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki di antara Februari dan Mac lalu.
Di hadapan Majistret Amira Abd. Aziz, tertuduh, Muhammad Syafiq Daniel Osman, 26, yang juga penghantar barang didakwa membunuh ke atas seorang kanak-kanak berumur 5 tahun 8 bulan di antara pukul 1.15 dan 7.15 pagi, 3 Mac lalu di sebuah hotel di Jalan Seri Utara di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur manakala Muhammad Syafiq Daniel tidak diwakili peguam bela. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Mei ini.
Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen di sini, isteri penghantar barang itu, Nur Nilam Kamaruddin, 26, yang juga pengasuh kepada mangsa mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 9 malam, 25 Februari lalu di sebuah kediaman di Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong di sini
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan tidak mencadangkan sebarang tawaran kepada tertuduh atas alasan perbuatan yang dilakukan adalah serius selain mangsa telah meninggal dunia.
Bagaimanapun, Nur Nilam yang tidak diwakili peguam merayu diberikan jaminan paling rendah dengan alasan mempunyai tiga orang anak dan sedang mengandung dua bulan.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan satu kali sebulan sehingga kes selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 9 April ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa sebelum ini dilaporkan sepasang suami isteri telah ditahan selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sehingga menyebabkan kematian.
Beliau menyatakan hasil bedah siasat menemukan kira-kira 20 kecederaan pada kepala, badan, tangan dan kaki dipercayai akibat hentakan benda tumpul pada badan mangsa.
Rusdi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dijaga oleh pengasuh wanita terbabit sejak dua bulan lalu dengan bayaran kira-kira RM800. – UTUSAN