PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim tidak pernah melantik mana-mana individu atau sesiapa yang bergelar Tan Sri sebagai penasihat beliau seperti yang didakwa.
Setiausaha Akhbarnya, Abdul Hakim Ab Rahman berkata, ini bagi menjelaskan dakwaan sebuah portal bahawa seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang terlibat dalam kes penipuan merupakan penasihat menteri sumber manusia.
“Pejabat Menteri Sumber Manusia mengambil maklum mengenai kenyataan yang mendakwa individu tertentu merupakan penasihat kepada menteri.
“Sebarang persoalan tentang perjawatan dalam pejabat menteri ataupun Kementerian Sumber Manusia boleh ditujukan kepada saluran rasmi kementerian,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu, polis dilaporkan menahan seorang ahli perniagaan berpengalaman 30 tahun dalam industri minyak dan gas yang dipercayai menipu wang dengan alasan untuk diserahkan kepada polis bagi menyelesaikan kes pengubahan wang haram.
Sebuah portal kemudian melaporkan dakwaan bahawa seorang ahli perniagaan yang dipercayai menipu wang orang ramai sebanyak RM10 juta merupakan penasihat menteri sumber manusia.
Habis