BUKIT MERTAJAM : Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dinasihatkan membuat laporan sekiranya ditimpa musibah bagi membolehkan bantuan disalur dengan segera.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, hal ini demikian kerana, sukarelawan agensi berkenaan yang ditimpa ujian ketika bertugas layak untuk menerima faedah perlindungan.
“Jadi, kalau ada isu di mana ada anggota APM yang tercedera, ditimpa musibah atau bencana ketika bekerja, maka, mereka boleh membuat laporan dengan Perkeso dan Perkeso akan segera membantu memandangkan anggota APM juga dilindungi di bawah SKSPS (jika mencarum).
“Saya rasa, masih ramai (anggota) yang belum tahu mengenai manfaat caruman ini. Maka, saya minta supaya maklumat ini diuar-uarkan serta dihebahkan agar dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pencarum serta keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kesiapsiagaan Awam sempena ulang tahun Apm ke-63 dan Majlis Berbuka Puasa bersama Komuniti di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, petang semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah APM Pulau Pinang, Zico Sual dan Pengarah PERKESO Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim.
Terdahulu, Steven menyerahkan faedah SKSPS kepada seorang anggota APM, Muhammad Syazwan Shopiee, 24, yang cedera akibat dipatuk ular katam payung ketika sedang bertugas pada Februari lalu.
Sementara itu, Muhammad Syazwan berkata, beliau ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hampir tiga minggu selepas dipatuk ular tersebut di bahagian ibu jari tangan kanan.
“Kini, kedua-dua belah kaki saya tidak berapa kuat kerana bisa patukan ular itu memberi kesan terhadap saraf dan saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
“Apapun, saya bersyukur dengan bantuan yang diterima iaitu sebanyak RM700 yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya yang menetap di Tasek Gelugor.-UTUSAN