KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Mei ini bagi mengetahui keputusan representasi yang dihantar oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC) yang dihadapinya.
Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan, permohonan representasi yang dihantar pada Ogos 2023 masih belum mendapat maklum balas Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Representasi yang dihantar oleh pembelaan masih belum diputuskan. Saya tidak mengatakan ada kemungkinan, tetapi ia masih dalam pertimbangan.
“Saya percaya, demi menjimatkan masa, tarikh pengurusan kes adalah sesuai untuk perkara ini sementara menunggu keputusan representasi,” katanya.
Sementara itu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya juga akan menghantar surat tambahan kepada AGC berhubung representasi itu.
“Mungkin apa yang boleh kita lakukan ialah menghantar satu lagi surat kepada Peguam Negara semasa, secara menyeluruh dan memohon agar beliau mempertimbangkannya semula. Saya perlu sediakan selewat-lewatnya pagi esok, supaya mereka boleh meneliti dan menetapkannya,” kata peguam itu.
Dalam pada itu, Muhammad Shafee turut memohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan untuk bermula 19 Mei ini dilapangkan bagi memberi ruang kepada kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut dihadapi oleh Najib dan dua kes jenayah lain.
Mahkamah kemudian membenarkan tarikh perbicaraan tersebut dilapangkan.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014. – UTUSAN