IPOH: Stadium Perak akan menggunakan rumput jenis `Bermuda Tifgrand’ bagi tujuan menaiktaraf padang, seperti mana diguna pakai untuk Stadium Darul Makmur, Pahang.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, keputusan itu setelah mengambil kira pandangan aspek teknikal walaupun pada awalnya mahu menggunakan jenis Zeon Zoysia seperti di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Katanya, proses pelantikan kontraktor dijangka berlaku pada April ini dan padang baharu Stadium Perak itu dijangka siap selepas empat hingga enam bulan.
“Teknikal sudah okay. Kita akan buat lantikan kontraktor melalui jawatankuasa sebut harga. Kalau tiada aral melintang, pada April ini pelantikan kontraktor dibuat untuk proses tukar rumput dengan sistem air.
“Kita pakai yang macam di Pahang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.
Jelas Rumaizi selepas padang itu siap, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan berkaitan akan membuat penilaian teknikal sebelum boleh digunakan semula oleh pasukan Perak FC.
Pada Januari 2024, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan geran berjumlah RM500,000 bagi kerja-kerja penggantian rumput padang di 14 stadium negeri termasuk Wilayah Persekutuan.
Perak menjadi antara negeri yang bersetuju menggunakan geran tersebut dengan Perak FC perlu mengharungi baki saingan Liga Super musim ini di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Lumut. – UTUSAN