PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menemubual doktor yang merawat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengetahui perkembangan kesihatan bekas Perdana Menteri itu.
Menurut sumber, sesi temubual itu dijalankan pada pukul 3.30 petang tadi di hospital tempat pegawai perubatan itu bekerja sekitar Selangor.
“SPRM menemubual doktor Datuk Seri Ismail Sabri untuk mengetahui tahap kesihatan dan apa penyakit beliau,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut didedahkan mengenai status kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
Ismail Sabri sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM hari ini, tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana dikatakan masih tidak cergas dan diberikan sijil cuti sakit (MC) sehingga Rabu depan.
Ismail Sabri dilaporkan sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat selama kira-kira lima jam selepas beliau membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu.
Beberapa hari kemudian, empat individu termasuk dua bekas pegawai kanannya ditahan SPRM untuk siasatan lanjut susulan serbuan di tiga premis yang menemukan wang tunai pelbagai negara berjumlah RM170 juta dan 16 jongkong emas bernilai RM7 juta di sebuah kondominum didakwa sebagai ‘safehouse’. – UTUSAN