ALOR GAJAH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan secara adil dan profesional dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap prinsip keadilan terus ditegakkan dalam mana-mana kes yang dibawa ke mahkamah.
“Kita menghormati SPRM dan berharap suruhanjaya itu berlaku adil serta tentunya profesional dalam menjalankan penyiasatan.
“Saya juga pernah mengalami keadaan itu apabila kes saya dibawa ke mahkamah. Walaupun pelbagai pihak melemparkan tuduhan, akhirnya keadilan telah ditegakkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir ke Majlis Santunan Kasih Ramadan Peringkat Zon Selatan 2025 di Masjid Ar Rahman, Kampung Rantau Panjang di sini, sebentar tadi.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan Ismail Sabri merupakan suspek dalam penemuan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang, baru-baru ini.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa Ahli Parlimen Bera itu menerajui negara.
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri telah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lalu.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – UTUSAN