SPRM mungkin panggil Ismail Sabri beberapa kali

SPRM mungkin panggil Ismail Sabri beberapa kali

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa kali untuk memberi keterangan.

Sumber berkata,  proses tersebut bagaimanapun akan dilakukan bergantung kepada keterangan yang akan diambil oleh SPRM, esok.

“Beberapa perkara diperlukan SPRM berdasarkan keterangan yang akan diberikan Ahli Parlimen Bera itu, tetapi ia semuanya bergantung dengan tahap kesihatan pemimpin itu.

“SPRM dijangka akan mengambil keterangan Ismail Sabri esok dan berkemungkinan akan melakukan tindakan itu beberapa kali lagi, namun ia bergantung kepada hasil temu bual bersama pegawai penyiasat, esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Menurut sumber, SPRM ketika ini masih menunggu tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu untuk diambil keterangan dan cuti sakit beliau akan berakhir hari ini.

“Pegawai penyiasat turut bertemu dengan seorang doktor bergelar Datuk yang merawat Ismail Sabri, di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya untuk mengetahui tahap kesihatannya,” katanya. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam turut mengesahkan, pemimpin itu akan memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pada 10 pagi, 13 Mac.

Media semalam melaporkan, SPRM sudah merekodkan keterangan 36 individu dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri.

Menurut sumber, 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini sudah dirakam percakapan.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Terdahulu, SPRM dilaporkan menyita wang kira-kira RM170 juta membabitkan mata wang seperti Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya