PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya memberi keutamaan pada siasatan berhubung dakwaan salah laku ejen pekerja asing serta kakitangan Jabatan Imigresen dan bukannya menahan wartawan yang melaporkan kes rasuah tersebut.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jika dakwaan tersebut benar, ia berpotensi menimbulkan ancaman lebih besar terhadap keselamatan serta ekonomi negara berbanding tuduhan peras ugut jenayah yang dikaitkan dengan wartawan berkenaan.
Beliau berkata, tindakan SPRM terhadap wartawan terbabit juga dilihat sebagai sesuatu yang janggal dan perlu diteliti dengan lebih mendalam.
“Pas melihat tindakan SPRM terhadap wartawan terbabit, yang dibuat hanya berdasarkan laporan ejen pekerja asing seperti yang didedahkan dalam laporan media, sebagai sesuatu yang mencurigakan dan perlu dikaji semula terutamanya dari segi motif, ketepatan di bawah undang-undang serta keutamaannya.
“Kes salah laku dan rasuah membabitkan pegawai imigresen serta ejen pekerja asing bukanlah perkara baharu, malah sering dibangkitkan dalam masyarakat dan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, SPRM menahan reman seorang wartawan daripada sebuah portal berita kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000.
Ia didakwa sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang telah dimuat naik serta menghalangnya daripada menulis lagi mengenai sebuah agensi pekerja asing yang dikatakan terlibat dalam sindiket.
Takiyuddin berkata, pada September tahun lalu, SPRM telah menahan 37 penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing secara tidak sah.
“Malah, dalam operasi khas SPRM di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan, pihak berkuasa turut merampas wang tunai lebih RM1 juta.
“Selain itu, SPRM turut menyita barang kemas, jongkong dan dinar emas, jam tangan berjenama, kenderaan, motosikal serta telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin juga mempersoalkan mengapa laporan media tempatan tersebut diberi perhatian khusus sehingga SPRM bertindak hanya berdasarkan aduan daripada ejen pekerja asing yang jelas mempunyai kepentingan sendiri dalam isu ini.
“Jika benar terdapat unsur peras ugut jenayah oleh wartawan, bukankah sepatutnya laporan dibuat kepada polis untuk disiasat di bawah Kanun Keseksaan, bukannya diambil tindakan di bawah Akta SPRM?
“Jika laporan media tersebut salah atau berunsur fitnah, bukankah pihak terkesan boleh mengambil tindakan undang-undang, sama ada secara sivil atau jenayah, bukannya melaporkan kepada SPRM?” soalnya.
Tambah beliau, tindakan SPRM itu boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap ketelusan dan profesionalisme badan berkenaan.
Menurutnya, tindakan tersebut mungkin dilihat sebagai satu usaha untuk menutup mulut wartawan dan media, sekali gus memenuhi kepentingan pihak tertentu yang didedahkan dalam laporan tersebut.
“Tindakan ini juga bertentangan dengan peranan wartawan dan media sebagai institusi teras demokrasi, yang menjunjung prinsip kebebasan bersuara serta semak dan imbang dalam masyarakat.
“Sebarang tindakan yang dilihat sebagai cubaan menekan, menyekat atau menakut-nakutkan wartawan dan media harus dielakkan, terutamanya oleh agensi kerajaan,” katanya.-UTUSAN