SMK Taman Jasmin 2 lahirkan murid budiman dan beradab

SMK Taman Jasmin 2 lahirkan murid budiman dan beradab

PERHIMPUNAN rasmi SMK Taman Jasminm 2 Kajang dimulakan pada jam 7.20 pagi di Dataran Jasmin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Peribahasa tersebut ternyata masih kekal relevan hingga kini dalam membuktikan bahawa adab merupakan tunjang utama yang menjadi amalan masyarakat di Malaysia seperti yang ditunjukkan oleh SMK Taman Jasmin 2.

Adab merujuk kepada tata cara pertuturan, tingkah laku, berpakaian dan sikap seseorang individu yang sesuai dengan keadaan dan tempat. Ulama terkenal Nusantara, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka pernah mengatakan bahawa kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang.

Nilai beradab ini bukan hanya menjadi teras ketika berada di rumah bahkan di mana-mana sahaja kita berada. Sekolah juga tidak terkecuali menjadi institusi pendidikan yang sangat menekankan kepentingan adab semasa pembelajaran agar murid mendapat keberkatan ilmu dalam menjalani kehidupan seharian.

Namun sayangnya, persepsi bahawa telah hilangnya adab dan nilai budi bahasa dalam kalangan generasi muda semakin membarah dan parah.

Sikap biadap semakin meresapi tingkah laku golongan remaja sekali gus melunturkan tata susila masyarakat Melayu yang masyhur dengan ketinggian adab dan budinya.

Menyahut teras kedua daripada tujuh teras Kementerian Pendidikan iaitu penekanan aspek karamah insaniah yang merangkumi pembentukan adab, akhlak dan integriti, SMK Taman Jasmin 2 sentiasa melaksanakan program-program yang mampu merealisasikan nilai-nilai berkenaan.

Salah satunya ialah program Amalan Guru Penyayang yang dirangka untuk membudayakan sikap penyayang dalam kalangan guru di sekolah. Guru-guru digalakkan untuk membina hubungan baik dengan murid serta ibu bapa demi menerapkan sifat kepedulian atau cakna dalam setiap perkara.

Berbeza berbanding tahun sebelumnya, tahun 2025 menyaksikan SMK Taman Jasmin 2 kembali memperkasakan amalan 3S iaitu ‘Senyum, Sapa dan Salam’. Suasana harmoni dapat dirasai apabila murid-murid menjadi ejen utama dalam merealisasikan pelaksanaan program ini secara menyeluruh.

“Jika sebelum ini guru yang sering menyapa murid, namun kali ini kita hendak melihat murid-murid yang terlebih dahulu menyapa guru-guru. Warga SMKTJ2 perlu mengamalkan nilai kasih sayang, bersikap mesra, mengambil berat, berbudi bahasa, saling menghormati, sentiasa ceria, prihatin dan sabar,” ujar Pengetua SMK Taman Jasmin Massita Mohamed Sin dalam ucapannya semasa perhimpunan pertama sekolah tersebut.

 

Murid-murid yang melakukan 3S (Senyum, Sapa dan Salam) akan menerima cenderahati daripada pihak sekolah dalam usaha memperkasakan amalan hormat-menghormati dan sifat penyayang antara warga sekolah. Hal ini telah ditegaskan oleh Penyelaras Program Amalan Guru Penyayang, Mastura Mohd Yusoff.

Barisan pentadbir dan barisan kaunselor akan menanti seawal pukul 6.30 pagi di pintu pagar sekolah untuk menyambut anak-anak didik yang disayangi.

Amalan ini dianggap sebagai pencetus motivasi untuk murid-murid gembira hadir ke sekolah.

Perhimpunan rasmi untuk sesi petang turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu LangatHasnul Hadi Ayub, ibu bapa dan murid-murid yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan tarian singa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN