Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak baru-baru ini merangkul pingat emas dalam Pameran Teknologi Inovasi , Reka Cipta dan Antarabangsa (IPITEx) anjuran The National Research Council of Thailand.
Pingat emas tersebut dirangkul menerusi inovasi pengusung mudah alih (portable stretcher) yang dipertandingkan dalam pameran tersebut anjuran The National Research Council of Thailand.
Pameran tersebut bertujuan supaya pencipta inovasi antarabangsa mempamer hasil inovasi yang berpotensi tinggi dan menarik.
Sekolah berkenaan yang membawa produk berinovasi kreatif itu berfungsi membantu menyelesaikan masalah signifikan kepada pengguna selama ini.
Dengan kerjasama Persatuan Reka Bentuk dan Reka Cipta Malaysia (MINDS), sekolah berkenaan merupakan salah satu pasukan daripada Malaysia yang menyertai pertandingan tersebut.
Produk berinovasi yang dihasilkan oleh pasukan SMK Karak dengan slogan rasmi Togetherness Leads to Success ini telah dianugerahkan pingat emas sebagai pengiktirafan terhadap usaha inovasi kreatif mereka.
Ia juga didorong hasil daripada pembentangan yang menakjubkan daripada pelajar iaitu Muhammad Safir Iman Muhammad Sulaiman dan Nur Safirah Balqis Muhammad Sulaiman.
Pelajar juga mendapat sentuhan daripada guru berpengalaman iaitu Noradawiyah Abdul Hamid yang mengimplementasikan idea terkini dan kaedah baru untuk meningkatkan prestasi dan kreativiti persembahan pelajar.
Kejayaan tersebut meletakkan satu tanda aras baru bagi produk berinovasi tinggi yang diiktiraf di dalam negara dan luar negara.
Penglibatan SMK Karak ini juga adalah selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang inovasi kreatif.
Usaha tersebut juga perlu disokong oleh pemain industri swasta dan badan bukan kerajaan untuk turut membantu Kementerian Pendidikan melibatkan para pelajar dalam sudut inovasi produk. – UTUSAN