Perpustakaan Awam Pahang cawangan Jengka terus menjadi pusat ilmu utama bagi pelajar, mahasiswa dan masyarakat setempat di kawasan berkenaan.
Bagi memastikan persekitarannya kekal bersih dan kondusif, satu program gotong-royong telah diadakan baru-baru ini melibatkan pelbagai pihak.
Program anjuran Sahabat dan skuad Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said itu yang turut disertai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat, SMK Desa Jaya, SMK Jengka Pusat 2 serta mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Turut serta dalam aktiviti tersebut adalah Barisan Kepimpinan Pejabat Penyelaras DUN Jengka dengan kerjasama kakitangan Perpustakaan Awam Jengka, Majlis Daerah Maran (MDM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Alam Flora Sdn Berhad.
Aktiviti gotong-royong ini bukan sahaja bertujuan menceriakan kawasan perpustakaan, malah diharap dapat menarik minat masyarakat setempat untuk hadir dan menggunakan kemudahan yang disediakan.
Menurut Ismail, usaha ini selaras dengan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang perlu sentiasa dikunjungi dan dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.
“Perpustakaan bukan sekadar tempat membaca dan membuat rujukan, tetapi juga platform untuk memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan masyarakat. Persekitaran yang bersih dan kondusif pasti lebih menarik minat orang ramai,” katanya. – UTUSAN