PETALING JAYA: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk berada dalam lingkungan 4.5 hingga 5.0 peratus, menzahirkan sentimen positif ekonomi secara keseluruhan, selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.
Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia tahun ke tahun telah meningkat kepada 5.1 peratus pada 2024, sejajar dengan unjuran kumpulan iaitu antara 4.3 hingga 5.3 peratus.
Katanya, pertumbuhan ini didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang stabil, pelaburan yang teguh serta pemulihan perdagangan luar.
“Mendukung komitmen kami ke arah memperkasa seluruh ekosistem Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kami terus menyediakan sokongan pembiayaan dan melangkaui pembiayaan bertujuan untuk memperkasa dan merangka pembangunan PKS.
“Kami juga berbangga kerana terus diberi kepercayaan daripada kerajaan dengan program baru dan sedia ada seperti mana yang dimandatkan dalam Belanjawan 2025 merentasi sektor strategik utama seperti bumiputera, teknologi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), halal dan pelancongan yang merupakan sebahagian daripada pemangkin untuk menyokong pemangkin serantau seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee Li Qing mengulas, pihaknya menjangkakan pertumbuhan KDNK pada 2025 akan terus didorong oleh perkembangan dalam sektor perkhidmatan, yang kekal sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dengan sokongan yang berterusan daripada kedua-dua subsektor berkaitan pengguna dan perniagaan.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal optimistik dengan unjuran perkembangan prestasi keseluruhan Malaysia pada tahun 2025 yang berlandaskan daripada faktor luaran seperti pertumbuhan KDNK yang kurang pesat dalam kalangan rakan perdagangan utama, potensi tempoh perang perdagangan Amerika Syarikat – China yang berlanjutan dan peningkatan dasar perlindungan global, ketidakstabilan konflik geopolitik serta pengeluaran dan harga komoditi yang lebih rendah daripada anggaran asal,” katanya.
Unjuran pertumbuhan SME Bank bagi 2025 adalah selaras dengan unjuran terkini oleh tinjauan ekonomi Bank Dunia pada Januari 2025, yang menjangkakan pertumbuhan stabil pada 2.7 peratus bagi 2025 dan 2026.
Sasaran ini adalah disokong oleh inflasi yang semakin stabil, harga komoditi yang lebih rendah, serta penurunan harga komoditi yang lebih rendah dan pelonggaran monetari merentasi ekonomi maju serta pasaran yang pesat membangun.
Ekonomi utama ASEAN seperti Indonesia, Filipina dan Vietnam dijangka akan mendapat manfaat daripada permintaan domestik yang kukuh, pelaburan infrastruktur dan perdagangan yang berkembang pesat. – UTUSAN