KUALA LUMPUR: SmartHeart, jenama makanan haiwan peliharaan Malaysia, mengumumkan Siri SmartHeart Cat Citarasa Warisan secara rasmi di Jelajah Nasional Roving Grand di Lot 10, di sini, hari ini.
Antara barisan perisa baharu dari siri Citarasa Warisan tersebut adalah SmartHeart Cat Pouch Satar Ikan Tuna dengan Perisa Udang serta Kerabu Ikan Tuna dengan Ayam dan Telur.
Menurut Naib Presiden Perfect Companion Malaysia , Jefferey Heng, rantaian perisa baharu yang dilancarkan adalah hasil sambutan orang ramai terhadap barisan awal perisa siri iaitu Otak-Otak dengan Tuna dan Rumpai Laut Wakame serta Otak-Otak dengan Tuna dan Ayam Carik.

Katanya, walaupun SmartHeart merupakan produk luar negara, beliau mahu elemen tempatan dimasukkan ke dalam makanan haiwan peliharaan bagi memberi penghormatan kepada makanan tradisional di Malaysia.
“Kami telah melancarkan konsep makanan raya ini sejak tahun lalu. Memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang, kami ingin mengeluarkan lagi perisa baharu agar haiwan peliharaan mereka boleh sama menikmati makanan raya nanti.
“Barisan siri kali ini melambangkan masyarakat Malaysia dengan menggunakan rekaan bungkusan bertemakan klasik.
“Karakter dan perhiasan booth juga seperti yang anda lihat menggunakan corak-corak seperti songket dan tema seperti ‘Song Cat in Songket’,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Jefferey berkata, mereka bercadang untuk memperluaskan lagi Siri SmartHeart Cat Citarasa Warisan dengan lebih banyak perisa baharu seperti Nasi Lemak dan Laksa.
Menurut beliau, formulasi istimewa bakal digunakan bagi meningkatkan kualiti makanan kucing untuk meraikan warisan ini dengan memberikan makanan berkhasiat SmartHeart kepada haiwan kesayangan mereka.
Sementara itu, SmartHeart turut memperkenalkan SmartCARE, satu inisiatif baharu untuk siri makanan anjing peliharaan, SmartHeart Dog yang bertujuan mewujudkan peluang dalam pasaran makanan haiwan peliharaan Malaysia.
Dengan 38 nutrien penting, SmartCARE menyokong kesihatan keseluruhan dan imuniti anjing. Kandungan 23 peratus protein berkualiti tinggi membantu mengekalkan kekuatan otot dan tenaga, sementara tanpa gula tambahan memastikan diet yang lebih sihat.
Jelajah Nasional SmartHeart bermula pada 12 Mac dan berlangsung sehingga 6 Mei 2025.
Jelajah ini akan merangkumi lebih 250 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Seremban, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Kedah. – UTUSAN