KUALA LANGAT: Skuad Pantas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkolaborasi menjayakan simulasi menyelamat mangsa banjir di Tasik Bandar Saujana Putra, di sini hari ini.
Menurut Timbalan Pengarah, Jabatan Korporat Dan Pembangunan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid, bencana alam seperti banjir yang dilaporkan berlaku di beberapa negeri kebelakangan ini memerlukan koordinasi komprehensif melibatkan pasukan penyelamat antara pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
“Kolaborasi ini adalah latihan yang berterusan yang mana antara PBT kita bekerjasama dan bertukar pandangan, fikiran dan kita melaksanakan latihan bersama ini kita akan dapat pengetahuan dan pengalaman baharu secara bersama.
“Hari ini apabila kita buat latihan bersama dalam bentuk simulasi menggunakan aset-aset MPKL. Kita dapat ‘explore’ kepada aset-aset yang baharu selain daripada aset kebiasaan yang kita guna,” katanya kepada pemberita sempena Lawatan Kerja Skuad Pantas MBSJ Ke MPKL Mengenai Skop Tugas Pantas MPKL, di sini hari ini.
Azfarizal berkata, hasil program tersebut, anggota Skuad Pantas MBSJ dapat belajar tentang ilmu baharu daripada aset-aset yang dimiliki pihak MPKL.
Katanya, kedua pihak turut berbincang aspek penambahbaikan pengurusan Skuad Pantas masing-masing berdasarkan amalan terbaik kedua pihak.
Sementara itu Ketua Unit Pantas MPKL, Ts. Mazlan Abdul Manap berkata, program tersebut membolehkan kedua pihak mewujudkan kerjasama, berkongsi maklumat dalam melakukan kerja-kerja menyelamat semasa kecemasan mahu pun bencana.
“Senario antara kedua majlis iaitu majlis bandaraya dan majlis perbandaran, maka kita dapat kongsi bersama segala pengetahuan yang ada.
“Walaupun MBSJ lebih senior (besar) daripada kita, ada senario-senario kita boleh memberi nilai tambah kepada mereka dan begitu juga sebaliknya,” katanya.
Pada program tersebut kedua pihak telah mengadakan program simulasi menyelamatkan mangsa banjir di Tasik Bandar Saujana Putra di bawah kawasan pentadbiran MPKL.
Tujuannya adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan pengalaman anggota-anggota Pantas MBSJ seramai 21 orang dalam latihan pemanduan bot dan memindahkan mangsa-mangsa banjir secara lebih sistematik.