KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad memperkenalkan Skim Pembiayaan Vanigham (VFS) berjumlah RM50 juta untuk perkasakan perusahaan kecil masyarakat India di Malaysia.
VFS menawarkan kadar keuntungan rendah sehingga enam peratus dengan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM300,000 bagi pembelian mesin, kenderaan komersial dan modal kerja, disertakan subsidi kadar keuntungan daripada kerajaan.
Skim pembiayaan itu bertujuan memberikan sokongan kewangan yang diperlukan bagi membolehkan usahawan India mengembangkan perniagaan, memperluaskan pasaran serta meningkatkan daya saing.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, PMKS dijangka bakal menyumbang 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 25 peratus daripada jumlah eksport negara pada tahun ini.
“Pada tahun lepas, KDNK Malaysia meningkat sebanyak 4.8 peratus dan pada tahun 2023, PMKS menyumbangkan sebanyak RM613.1 billion,” katanya semasa pelancaran VFS di sini, hari ini.
Menurut Ramanan, hasil perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemohon VFS akan turut mendapat subsidi kadar keuntungan daripada kerajaan.
“Skim ini menawarkan pembiayaan dari RM100,00 hingga RM300,000 bagi pembelian mesin, kenderaan komersial dan modal kerja. Malah, mereka akan dapat satu peratus subsidi kadar keuntungan dari pihak kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Pemangku Presiden Kumpulan/ Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, skim ini melengkapkan inisiatif utama yang diterajui kerajaan di bawah Belanjawan 2025.
“Harapan kami di SME Bank ini dapat membantu golongan usahawan mendapat manfaat dari (VFS) dan mereka juga boleh mengembangkan perniagaan dari skala kecil, sederhana ke besar,” katanya. – UTUSAN