KOTA KINABALU: Pemberi maklumat dalam skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah akan dipanggil untuk dirakam percakapan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur pada pukul 2 petang ini.
Ini susulan pendedahan terbaru daripada bekas Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang menyatakan akan menyerahkan 10 video berkaitan kes berkenaan yang diterimanya daripada pemberi maklumat dikenali sebagai Albert Tei.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mengambil video yang dikatakan dan mengkaji sama ada ia tulen atau tidak kerana sebarang video atau audio yang telah disunting atau diubah suai tidak akan diterima sebagai bukti dimana-mana mahkamah.
“Sebenarnya siasatan bagi kes ini tidak pernah ditutup tapi, semua pihak untuk bersabar kerana SPRM memang ingin menyelesaikan siasatan kes berkenaan dengan kadar segera.
“Namun, siasatan harus dilakukan mengikut landasan undang-undang dan dengan pendedahan terbaharu yang menyatakan ada video tulen maka, pihaknya akan memperhalusi lagi siasatan dalam kes berkenaan,” katanya semasa Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan SPRM, di sini semalam.
Katanya, siasatan akan diteruskan berdasarkan bukti-bukti yang baharu diterima dan beliau turut memberi jaminan, tiada tangkapan akan dibuat terhadap pemberi maklumat atau mana-mana pihak berkaitan dalam siasatan skandal rasuah berkenaan.
“Saya sendiri telah memberi arahan bahawa siasat dengan profesional dan seadil-adil yang mungkin dan saya memberi arahan tidak perlu tangkap siapa-siapa dalam kes ini.
“Kita akan siasat dahulu dan tengok apa keterangan yang ada dan akhirnya, kita akan buat keputusan dan terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menentukan sama ada akan dibuka kes atau tidak,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, memandangkan video-video tersebut baharu diserahkan kepada SPRM maka, beliau masih belum boleh membuat sebarang kesimpulan.
“Kita kena tengok apa keterangan dia (Albert) berikan kepada kita. Ia satu keterangan yang boleh diterima atau tidak. Jadi, sepatutnya tidak ada isu kami cuba nak melambat-lambatkan atau cuba melindungi mana-mana pihak dalam kes ini,” katanya. – UTUSAN