SK Mat Daling ungguli sukan golf sekolah luar bandar

SK Mat Daling ungguli sukan golf sekolah luar bandar

PASUKAN perempuan junior Sekolah Kebangsaan Mat Daling, Ulu Tembeling yang mengungguli kejayaan di Kejohanan Golf Tertutup sembilan lubang di Batu Sembilan, Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terpencil di pedalaman bukan bermakna ketinggalan dalam bidang akademik dan kokurikulum malahan ada bidang tertentu yang sudah didominasi Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Daling, Ulu Tembeling, Jerantut berbanding mereka di luar atau bandar.

Hal ini dibuktikan oleh sekolah yang terletak kira-kira 130 kilometer dengan bandar Jerantut apabila beberapa orang muridnya mengungguli Kejohanan Golf Lembah Ulu Tembeling Tertutup bagi kategori junior baru-baru ini.

Dalam kejohanan golf sembilan lubang di KRT Batu Sembilan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, Kelab Golf SK Mat Daling telah menjadi johan kategori lelaki dengan 67 pukulan apabila diungguli oleh Mohammad Ammarullah Mohammad Aminuddin.

Dalam kategori tersebut, peserta SK Ulu Tembeling, Naim Muhammad muncul naib johan dan ketiga, Muhammad Rafiezal Fitri Abdullah yang mewakili SK Kuala Sat.

Kejohanan golf tersebut turut disertai empat buah lagi sekolah kebangsaan di kawasan Lembah Ulu Tembeling membabitkan seramai 20 orang peserta yang bertanding.

Lebih menguja serta membanggakan, ketiga-tiga orang peserta perempuan SK Mat Daling membuktikan kebolehan apabila muncul johan bagi kategori perempuan junior, iaitu Siti Nur Azzani Abdullah manakala naib johan, Wan Nur Anis Wan Nurezal dan tempat ketiga, Wan Shuhada Wan Fairuz.

Hadiah kepada pemenang kejohanan disampaikan oleh wakil Yayasan Setia Agrotech semasa program Hari Anugerah Kecemerlangan di sekolah tersebut baru-baru ini. Dalam majlis itu johan menerima RM200, RM150 (kedua) dan RM100 (ketiga).

 

Guru Besar SK Mat Daling, Jainurin Mohd Nor berkata, kejayaan tersebut amat membanggakan pihak sekolah dan ibu bapa khususnya masyarakat Melayu Ulu Tembeling daerah ini yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling.

“Lebih membanggakan sukan golf telah menarik minat murid di sini setelah menerima latihan intensif seorang guru yang mahir dengan permainan ini, iaitu Cikgu Amiruddin Ahmad yang mula memperkenalkan sukan ini selain galakan daripada Jabatan Pelajaran Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah beberapa tahun lalu.

“Walaupun keluasan padang agak terhad, tetapi berkat usaha jurulatih berkenaan ditambah pula minat mendalam murid terhadap sukan golf sudah pun terjawab apabila mengungguli kejohanan peringkat sekolah rendah kawasan Lembah Ulu Tembeling,” katanya kepada Utusan Pelajar di SK Mat Daling baru-baru ini.

Menurut Jainurin, pihak sekolah dan ibu bapa berterima kasih kepada Yayasan Setia Agrotech kerana menyediakan kemudahan venue kejohanan tertutup itu di samping hadiah kepada pemenang berupa galakan untuk terus bergiat menjalani latihan bagi mewakili negeri ke pertandingan peringkat Kebangsaan tidak lama lagi,

Dalam pada itu, Amiruddin berkata, dia serta guru di situ menanam minat murid di pedalaman terhadap sukan golf apabila mendidik mereka berjinak dengan permainan itu dengan menepis sangkaan sukan itu hanya untuk golongan elit di bandar sahaja.

“Ketika mula memperkenal­kan sukan ini, ramai murid Tahun Lima dan Tahun Enam sudah menunjukkan minat dan mula turun berlatih mengikut jadual aktiviti kokurikulum di samping pada hari cuti dan waktu petang.

“Sebagai guru, saya tidak menghampakan mereka dan nampak di raut wajah masing-masing mempunyai minat dan bakat dalam sukan ini,” katanya.

Menurut Amiruddin, bertolak daripada saat mengenali sukan itu, murid yang sama sudah mampu menghayun kayu golf dan kemudian mencuba memukul bola hasil tunjuk ajarnya.

“Saya menunjukkan teknik bermain serta memberikan mereka peluang mencuba ‘menghayun’ kayu golf dengan sejumlah bola dan kadang-kadang terpaksa dicari semula di kawasan hutan berdekatan dan perumahan apabila terbias ketika dipukul murid.

“Peluang mereka memukul bola lama-kelamaan berlaku perubahan kemahiran malah saya teruja kerana murid di pedalaman ini memiliki bakat yang boleh dicanai sebagai pemain golf dan mampu menyertai pertandingan luar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya