Sistem pertahanan dunia sudah 'rosak' - Anwar Ibrahim

Sistem pertahanan dunia sudah ‘rosak’ – Anwar Ibrahim

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Negeri Peringkat Pulau Pinang di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Sistem pertahanan dunia ketika ini disifatkan sudah ‘rosak’ kerana mengizinkan keganasan terus berlaku susulan serangan terbaharu tentera Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ‘kerosakan’ tersebut berlaku disebabkan serangan dan keganasan yang masih berterusan meskipun masih dalam tempoh gencatan senjata.

“Sebenarnya, kita tidak setuju (gencatan senjata). Sepatutnya, (tentera Israel) perlu menghentikan serangan ganas terhadap rakyat (Palestin) termasuk wanita dan kanak-kanak khasnya.

“Sekarang, ada usaha perdamaian tetapi pembunuhan (tetap) berterusan. Ini maknanya, sistem pertahanan dunia ini sudah ‘rosak’. Keganasan itu diizinkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai serangan terbaharu yang mengorbankan lebih 300 nyawa oleh tentera Israel, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir memeriahkan Majlis Berbuka Puasa Madani Negeri Peringkat Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh 1,500 tetamu di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat di sini, hari ini.

Anwar yang tiba kira-kira pukul 6.40 petang itu diiringi oleh Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek. Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman oleh tentera Israel dan bersedia memberikan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

“Kita akan berikan bantuan yang kita mampu dari aspek kebajikan dan kemanusiaan. Tapi, apa yang sangat kita kesalkan ialah, ia (serangan) berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Tidak ada langsung perikemanusiaan. Jadi, kita doa mudah-mudahan Allah SWT melindungi keluarga mangsa dan mencucuri rahmat ke atas para syuhada yang terlibat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya