PETALING JAYA: Sistem penjagaan kesihatan di Sudan semakin tenat dan hampir lumpuh akibat peperangan yang berlarutan hampir dua tahun. Situasi ini semakin parah dengan kekurangan dana serta bekalan ubat-ubatan penting, menyebabkan hospital tidak mampu menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai.
Tinjauan di beberapa hospital utama mendapati keadaan amat kritikal apabila tiga hingga empat pesakit terpaksa berkongsi satu katil. Lebih memilukan, ada pesakit yang menghembuskan nafas terakhir di atas lantai kerana ketiadaan ruang, sementara yang lain terpaksa dihantar pulang tanpa rawatan akibat kekurangan kakitangan perubatan.
Koordinator keselamatan Islamic Relief, Mohammed Ali berkata, ribuan nyawa terkorban dan sistem kesihatan di Sudan kini berada dalam krisis yang amat parah.
“Hospital di negeri Kassala berada dalam keadaan padat dan tidak selesa. Ada yang muntah akibat kolera, sementara pesakit yang terlalu lemah dan kritikal terpaksa dihantar pulang kerana hospital tidak mampu menampung mereka.
“Saya sendiri mengalami kesukaran mendapatkan rawatan untuk ibu saya yang sedang sakit. Saya pergi ke lima atau enam hospital sebelum akhirnya mendapat katil di bilik kecemasan, namun ibu tetap pergi meninggalkan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di Sudan, lebih dua pertiga hospital utama telah berhenti beroperasi akibat konflik yang berterusan, manakala hospital yang masih berfungsi berdepan risiko penutupan disebabkan kekurangan tenaga perubatan, ubat-ubatan, bekalan asas, air, dan elektrik.
Sejak perang bermula, lebih daripada 120 petugas kesihatan terbunuh, dengan sekurang-kurangnya 542 serangan dilancarkan terhadap sistem penjagaan kesihatan negara itu. Keadaan ini menyebabkan ramai doktor dan jururawat melarikan diri ke luar negara atau terpaksa menghentikan tugas mereka kerana ancaman keselamatan.
Krisis kebuluran dan perpindahan besar-besaran turut memburukkan keadaan, memberikan tekanan hebat kepada infrastruktur kesihatan yang semakin lumpuh. Ribuan rakyat Sudan kini hidup dalam keadaan serba kekurangan, bergantung kepada bantuan kemanusiaan yang semakin terhad.
Gangguan rantaian bekalan, kecurian, rasuah serta kemerosotan ekonomi telah menyekat akses kepada ubat-ubatan yang sangat diperlukan. Bekalan perubatan yang dihantar oleh organisasi antarabangsa sering kali tidak sampai ke hospital akibat rampasan dan penyeludupan di kawasan konflik.
Dalam pada itu, beberapa pertubuhan kemanusiaan antarabangsa seperti Islamic Relief, World Health Organization (WHO) dan Médecins Sans Frontières (MSF) terus berusaha menyalurkan bantuan, namun menghadapi cabaran besar dalam menghantar bekalan ke kawasan yang terjejas teruk.
Menurut Mohammed Ali, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan bantuan perubatan dari luar, tetapi birokrasi serta sekatan keselamatan menyukarkan akses kepada sumber kritikal ini.
“Keadaan di lapangan amat menyayat hati. Kami melihat kanak-kanak, wanita dan warga emas menderita tanpa sebarang rawatan kerana hospital sudah tidak lagi mampu beroperasi dengan baik. Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dan memberikan bantuan segera,” katanya.
Tinjauan mendapati hospital yang masih beroperasi terpaksa menggunakan kaedah rawatan kecemasan yang terhad, manakala pesakit yang memerlukan pembedahan terpaksa menunggu berhari-hari tanpa jaminan mendapat rawatan sewajarnya.
Pihak berkuasa Sudan setakat ini masih bergelut dalam menangani situasi kritikal ini, dengan harapan lebih banyak bantuan dapat disalurkan bagi mengelakkan lebih ramai nyawa terkorban akibat sistem kesihatan yang hampir lumpuh sepenuhnya. – UTUSAN