PETALING JAYA: Sistem pendidikan paling ideal di negara ini adalah satu aliran persekolahan.
Bagaimanapun dalam konteks Malaysia, kewujudan sekolah pelbagai aliran sudah menjadi sebahagian daripada sejarah dan sistem pendidikan kebangsaan.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, sistem pendidikan negara terbentuk hasil daripada sejarah yang panjang termasuk penjajahan, yang akhirnya melahirkan masyarakat majmuk.
“Kita suka atau tidak suka, itulah sejarah negara kita. Begitu juga dengan sistem pendidikan pelbagai aliran yang dipersetujui bersama oleh pemimpin terdahulu.
“Ya, mungkin ada yang berpandangan pemimpin dahulu melakukan kesilapan atau tidak berfikiran panjang, tetapi hakikatnya, keputusan itu dibuat dalam konteks pada masa tersebut.
“Kita boleh sahaja tidak bersetuju, tetapi perlu memahami sejarah pendidikan negara sebelum mengeluarkan kenyataan atau pandangan secara semborono,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, sekolah vernakular tidak menghalang perpaduan antara kaum yang sudah dibuktikan generasi terdahulu, yang hidup dengan semangat saling melengkapi tanpa dipengaruhi sentimen perkauman yang keterlaluan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seng berkata, sehubungan itu cadangan seorang Exco Pemuda UMNO supaya sekolah vernakular ditutup tidak wajar, sebaliknya isu pendidikan perlu ditangani dengan bijaksana, berlandaskan fakta dan tidak dijadikan alat untuk memecahbelahkan rakyat.
Tambah Anuar, daripada terus mempertikaikan kewujudan sekolah pelbagai aliran, ahli politik sepatutnya menumpukan usaha memperkasakan sekolah kebangsaan agar menjadi pilihan utama ibu bapa pelbagai kaum.
“Daripada sibuk mempertikaikan sekolah pelbagai aliran yang telah pun diiktiraf oleh mahkamah dan undang-undang negara, mengapa tidak ahli politik berjuang habis-habisan supaya sekolah kebangsaan diperkasakan kualitinya?
“Perjuangkan sekolah kebangsaan sehingga akhirnya menjadi rebutan ibu bapa dari semua kaum, seperti mana kita lihat dalam sistem matrikulasi dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diiktiraf kehebatannya,” katanya.
Tambah beliau, usaha perlu dipergiat untuk memastikan kemudahan di sekolah kebangsaan setanding dengan sekolah antarabangsa, selain memastikan guru-guru dilatih sehingga bertaraf global serta mengurangkan beban tugas mereka.
“Usahakan supaya kurikulum kebangsaan menjadi contoh kepada negara lain, itu baru ahli politik yang hebat.
“Sejak tahun 1950, isu sekolah vernakular terus dijaja oleh ahli politik, tetapi adakah pendidikan anak-anak kita semakin baik? Adakah prestasi pendidikan kita sekarang sehebat Singapura, Vietnam atau Korea Selatan, yang suatu ketika dahulu jauh ketinggalan berbanding Malaysia?” soalnya.
Anuar berkata, sebagai timbal balik kepada kewujudan sekolah vernakular, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) juga perlu menzahirkan jati diri serta identiti kebangsaan.
“Pendidikan bahasa kebangsaan mestilah diperkukuhkan di semua sekolah jenis kebangsaan. Standard silibus dan penguasaan bahasa kebangsaan juga perlu selaras di semua sekolah kebangsaan termasuk SJKC dan SJKT,” katanya.-UTUSAN