PETALING JAYA: Polis Selangor menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian dengan menahan tujuh individu tempatan, termasuk dua wanita, dalam satu operasi khas baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dengan bantuan pakar analisis media sosial.
“Hasil serbuan, kita (polis) merampas tujuh komputer riba, 12 telefon bimbit, sebuah router serta satu rangkai kunci beserta kad akses rumah,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek berperanan sebagai operator pusat panggilan di peringkat kedua, yang bertanggungjawab meminta mangsa melakukan beberapa tugasan bagi mendapatkan pulangan sebanyak 20 peratus.
“Tugasan tersebut diberikan melalui pautan Lumiereessemcebeautyskincare.pro di aplikasi Telegram, dengan mangsa terdiri daripada warga Hong Kong,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud. – UTUSAN