Sindiket penipuan perdaya menang hadiah Aidilfitri

Sindiket penipuan perdaya menang hadiah Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket penipuan dikesan menggunakan taktik baharu sempena sambutan Aidilfitri dengan memperdaya mangsa kononnya memenangi hadiah melalui poster yang diubahsuai.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya mengesan modus operandi itu susulan laporan dibuat seorang mangsa yang mengalami kerugian RM3,006.03.

Katanya, hasil maklumat mendapati sindiket mengubahsuai poster ‘Ramadan Bersama Shopee’ dengan meletakkan nombor telefon mangsa kononnya sebagai pemenang dalam peraduan diadakan.

“Mangsa kemudian akan dihubungi oleh sindiket dan diarah mengaktifkan ‘Shopee Pay Later’ untuk menebus hadiah dimenangi. 

“Bagaimanapun, selepas diaktifkan dan mengimbas kod QR diberikan, mangsa mendapati wang dalam akaun berkurangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rohaimi berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Menurutnya, JSJK merekodkan 2,328 kes penipuan belian dalam talian membabitkan kerugian RM19.61 juta sejak 1 Januari lalu sehingga kelmarin.

Jelasnya, jumlah itu meningkat 36.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 1,700 kes dengan kerugian RM13.66 juta.

“Menjelang musim perayaan ini, PDRM percaya pembelian secara dalam talian bakal menjadi salah satu pilihan ramai pengguna,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan masyarakat untuk berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa dengan tidak percaya tawaran menarik atau harga terlalu murah.

“Masyarakat diingatkan untuk melakukan pembelian melalui platform e-dagang mempunyai ciri keselamatan dan dipercayai, sentiasa semak ulasan pembeli lain serta menyemak nombor akaun atau nombor telefon melalui portal SemakMule sebelum membuat pembayaran,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya