Sindiket haram pekerja asing tumpas

Sindiket haram pekerja asing tumpas

SALAH seorang daripada mereka dipercayai majikan kepada kesemua warga asing terbabit dalam operasi khas di tiga lokasi berasingan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan kegiatan sindiket ejen haram yang menawarkan perkhidmatan penyediaan pekerja asing secara tidak sah dalam operasi khas di tiga lokasi berasingan semalam.

Dalam serbuan serentak yang dijalankan bermula pukul 11.05 pagi, pasukan operasi menyerbu premis di Taman Kemuning Utama, Shah Alam; Taman Pandan Cahaya, Ampang serta Jalan Datuk Eusoff, Kuala Lumpur.

Operasi tersebut melibatkan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama tiga minggu serta maklumat awam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan itu, seramai 17 individu diperiksa dan enam lelaki warga asing ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada lima warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan berusia antara 30 dan 50 tahun. Salah seorang daripada mereka dipercayai majikan kepada kesemua warga asing terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang memiliki pas yang masih sah, seorang tinggal lebih masa, dua individu melanggar syarat pas, manakala dua lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Zakaria, pihak berkuasa turut merampas sebanyak 394 pasport Bangladesh, enam pasport Indonesia, dua pasport India, sembilan pasport Pakistan, satu pasport Filipina, tiga telefon bimbit, cop syarikat serta wang tunai berjumlah RM12,550.

Selain itu, sebuah kenderaan jenis Honda Insight Hybrid disita untuk tujuan siasatan.

Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai beroperasi selama setahun dan menggunakan modus operandi membekalkan pekerja asing kepada majikan yang telah disenarai hitam daripada memohon kuota pekerja asing.

“Ejen haram berkenaan mengenakan bayaran RM8,000 bagi setiap pekerja asing yang disediakan kepada majikan terlibat. Mereka juga menawarkan perkhidmatan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara
(PLKS) dengan kadar antara RM4,000 hingga RM6,000 setahun bagi setiap pekerja,” ujarnya.

Katanya, semua warga asing yang ditahan kini dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya