PETALING JAYA: Taktik licik sindiket penyeludupan migran menggunakan inap desa dan hotel bajet sebagai rumah transit terbongkar di sekitar Sungai Buloh dekat sini terbongkar selepas diserbu polis semalam.
Sindiket dipercayai aktif sejak dua bulan lalu itu dikesan menggunakan penginapan harian terbabit sebelum migran diseludup keluar dan masuk dari negara ini melalui jalan laut tidak diwartakan.
Operasi kira-kira pukul 12.30 tengah malam dijalankan menerusi serbuan khas Op Pintas SOM yang digerakkan Bahagian D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati sindiket beroperasi secara terancang dan sistematik dengan menjadikan inap desa sebagai rumah transit bagi memperdaya pihak berkuasa.
“Serbuan pertama dilakukan di dua unit inap desa sekitar Sungai Buloh yang dijadikan lokasi penginapan ejen dan transporter.
“Serbuan kedua pula membabitkan sebuah hotel bajet di kawasan Saujana Utama yang digunakan sebagai rumah transit bagi menempatkan migran sebelum mereka dibawa keluar dari negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, penggunaan inap desa sebagai rumah transit merupakan taktik baharu sindiket penyeludupan migran bagi mengaburi pihak berkuasa.
Jelasnya, kaedah itu membolehkan sindiket menyewa rumah secara harian tanpa menimbulkan syak wasangka berbanding menyewa rumah secara tetap.
“Siasatan mendapati ejen bukan sahaja menguruskan tempat tinggal, malah turut menyediakan makanan kepada migran sepanjang tempoh mereka ditempatkan di rumah transit sebelum dibawa ke destinasi seterusnya,” katanya.
Soffian berkata, siasatan mendapati sindiket mengenakan bayaran antara RM1,800 hingga RM2,000 bagi setiap migran.
“Bayaran itu dikenakan kepada migran yang mahu masuk atau keluar dari Malaysia melalui jalan tidak diwartakan dan dibuat di Indonesia sebelum perjalanan migran diatur oleh ejen di Malaysia.
“Migran ini ditempatkan di rumah transit antara dua hingga tiga hari sebelum dibawa menggunakan kenderaan ke pantai Melaka dan seterusnya menaiki bot keluar dari negara ini,” katanya.
Menurutnya, sindiket dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dengan rangkaian operasi meliputi Selangor, Lembah Klang dan Melaka.
“Kegiatan penyeludupan migran ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah turut membahayakan nyawa migran yang menggunakan jalan laut tanpa pemantauan keselamatan.
“Sindiket ini bergerak secara terancang dengan rangkaian ejen di kedua-dua negara yang bertindak sebagai pengatur perjalanan serta penyedia kemudahan kepada migran,” katanya.
Beliau berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan 15 individu warga Indonesia berusia antara 22 hingga 53 tahun terdiri daripada anggota sindiket dan migran yang dipercayai menjadi mangsa penyeludupan.
“Daripada jumlah itu, tujuh individu dipercayai anggota sindiket termasuk ejen, pembantu ejen, transporter dan penjaga rumah transit yang mengatur perjalanan migran.
“Lapan individu lain terdiri daripada migran turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.
Tambahnya, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN