Sindiket edar dadah guna dua rumah kampung tumpas 

Sindiket edar dadah guna dua rumah kampung tumpas 

HUSSEIN Omar Khan pada sidang akhbar di IPK Selangor hari ini.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Taktik licik sindiket pengedaran dadah menjadikan dua rumah kampung di Kuala Selangor bagi menyimpan bahan haram itu sejak dua tahun lalu tumpas selepas digempur polis, Jumaat lalu.

Kediaman yang terletak di luar bandar itu dipercayai disewa sindiket berkenaan bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Kegiatan haram itu bagaimanapun tumpas selepas enam individu termasuk seorang wanita diberkas dalam dua serbuan di Kuala Selangor dan Tanjong Karang dengan turut merampas dadah berjumlah RM4.25 juta.

 Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi hasil maklumat dan risikan itu dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, kira-kira pukul 9.15 pagi.

 Jelas beliau, serbuan itu menahan lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 23 hingga 60 tahun.

 “Hasil pemeriksaan di rumah pertama menemukan dadah jenis ketamin seberat 40.81 kilogram (kg), syabu (1.03kg), Erimin 5 (127.55 gram) dan kafein (8.52kg).

 “Serbuan di rumah kedua di Tanjong Karang kemudian turut merampas dadah jenis Erimin 5 seberat 12.14kg, pil MDMA (3.2 kg) dan kafein (125kg)” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Menurut Hussein, siasatan mendapati sindiket itu menggunakan rumah persendirian di kawasan luar bandar sebagai tempat penyimpanan dadah.

 “Kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai dijual sindiket bagi pasaram sekitar Lembah Klang. Dadah berkenaan juga dipercayai mampu menampung permintaan pasaran dadah selama beberapa bulan,” ujarnya.

Jelas beliau, semakan mendapati empat daripada enam suspek memiliki rekod lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif dadah.

“Dua daripada mereka adalah penganggur manakala suspek lain bekerja sebagai buruh binaan, pekerja ladang sawit bengkel besi dan bekerja sendiri.

“Polis turut menyita sebuah kereta Nissan Sentra, pacuan empat roda Isuzu D-Max (RM70,000) dan motosikal Yamaha 125ZR (RM8,000) di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Tambah Hussein, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya