Anwar minta hentikan sikap bengis ancam perpaduan, keharmonian negara  

Anwar minta hentikan sikap bengis ancam perpaduan, keharmonian negara  

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Insiden yang menyaksikan seorang individu bukan Islam ditampar kerana makan di khalayak ramai pada siang hari dalam bulan Ramadan baru-baru ini adalah bertentangan dengan semangat perpaduan negara.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, perkara seumpamanya perlu dihenti dan dielakkan bagi membina sebuah negara yang bertamadun.

“Apa gunanya kita bicara soal Islam serta keindahannya, terutama di bulan Ramadan, sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan kita dari sikap yang bengis dan mengancam keamanan dan kerukunan. 

“Perdana Menteri percaya isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan bangsa ini boleh dielakkan jika semua pihak patuh dan komited mengamalkan prinsip hormat menghormati antara satu sama lain bagi membina sebuah negara yang bertamadun,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Sementara itu, turut diberikan perhatian adalah berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), khususnya mengenai dakwaan bahawa pemilik asal kediaman terutama orang Melayu dan Bumiputera akan hilang hak apabila ia dilaksanakan.

“Ada juga persoalan mengenai bagaimana pemilik asal mampu untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui dengan harga yang mencecah ratusan ribu ringgit. Perdana Menteri ingin menegaskan bahawa antara prinsip utama PSB adalah projek pembaharuan kediaman mesti dijalankan menerusi perundingan dengan pemilik untuk mendapatkan persetujuan menyertai projek.

“Selepas persetujuan, pemilik akan menerima semula hartanah berkenaan yang telah diperbaharui, pampasan, manfaat sara hidup serta beberapa manfaat lain semasa peringkat pembinaan dan selepas pembinaan diselesaikan,” ujarnya 

Jelas Tunku Nashrul, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pelaksanaan RUU PSB akan memastikan rumah yang telah diperbaharui diberikan kepada pemilik asal supaya mereka dapat kembali menghuni di atas tapak asal yang telah dibangunkan. 

“Nilai pampasan hartanah yang akan diperoleh oleh pemilik pula adalah berdasarkan kepada nilai pasaran masa hadapan, sekali gus membantu mereka untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui. 

“Ini berbeza berbanding situasi semasa, di mana pampasan yang diputuskan oleh perunding atau mahkamah adalah berdasarkan nilai semasa, menyebabkan pemilik tidak mampu memiliki rumah baharu yang harganya jauh lebih tinggi daripada pampasan.

“Selain pampasan yang jauh lebih tinggi berbanding kaedah semasa, RUU PSB juga akan memastikan pelbagai bentuk pampasan atau manfaat diberikan kepada pemilik, antaranya bayaran sewaan kediaman transit, bayaran ex-gratia renovasi hartanah sedia ada dan bayaran-bayaran lain bagi membantu sara hidup pemilik sepanjang tempoh pembinaan.

“Ia sekali gus memastikan apa jua pembangunan semula menitikberatkan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas kepada gagasan Madani,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Tuanku Nashrul berkata, kerajaan menyedari terdapat usaha beberapa pihak yang terus menabur fitnah kepada Perdana Menteri dengan pelbagai cerita ‘lapuk’ yang diulang-ulang.

“Ini menunjukkan keterdesakan pihak-pihak ini untuk cuba mempengaruhi minda masyarakat serta kontangnya idea mereka dalam usaha membangun negara. Memanjangkan fitnah terutama di bulan Ramadan merupakan serendah-rendah akhlak dan ditegah keras oleh Islam.

“Namun, kita akan terus memantau rapat agar ia tidak akan sesekali menggugat serta melemahkan semangat serta niat kita dalam menjamin kesejahteraan pada negara dan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya