Sewa rumah daif jadi makmal proses dadah - Utusan Malaysia

Sewa rumah daif jadi makmal proses dadah

MAT Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali (tiga dari kiri) menujukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Bagan Datuk hari ini . - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Taktik licik sindiket memproses dadah menyewa sebuah rumah kampung yang ‘daif’ di kawasan terpencil di Ulu Bernam di sini untuk dijadikan makmal, terbongkar selepas diserbu polis, Rabu lalu.

Serbuan pada pukul 10.20 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu membawa kepada penemuan dadah jenis syabu dan ketamin bernilai RM1.6 juta.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, serbuan di rumah papan dalam kawasan estet itu berjaya menangkap seorang lelaki berusia 47 tahun yang bertindak sebagai ‘tukang masak’ dadah.

Menurut beliau, ketika serbuan dijalankan, suspek warga tempatan itu sedang memproses ketamin.

Katanya, dalam serbuan itu, sebanyak 27.05 kilogram (kg) dadah jenis ketamin, 40 liter cecair dadah ketamin, 1.8kg syabu, pelbagai bahan kimia dan peralatan memproses dadah ditemukan.

“Serbuan tersebut membawa kepada dua tangkapan susulan membabitkan dua lelaki berusia 44 dan 42 tahun di Sentul, Kuala Lumpur dan Batu Caves, Selangor sekitar pukul 11 malam, hari yang sama.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek itu bertindak sebagai ‘runner’ dan ‘transporter’ bagi sindiket dadah yang mulai aktif sejak pertengahan tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk, di sini hari ini.

Menurut beliau, modus operandi kumpulan itu adalah menjadikan rumah di kawasan terpencil dan jauh dari laluan utama sebagai makmal haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, rumah tersebut disewa dengan kadar bayaran RM250 sebulan sejak tiga bulan lalu.

“Siasatan mendapati, suspek pertama sindiket ini mempelajari cara-cara memproses dadah melalui rakannya ketika menjalani hukuman di penjara selain menerusi video di laman sosial Youtube.

“Semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai rekod bersabit kes dadah manakala ujian saringan air kencing pula adalah negatif,” katanya.

Tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila menyita sebuah kereta jenis Nissan Almera, sebuah kereta Toyota Camry dan seutas jam tangan Maserati dianggarkan bernilai RM59,100.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya