SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh sebagai perdana menteri kepada 10 tahun atau dua penggal sahaja.
Perdana Menteri berkata, jika cadangan itu mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli parlimen, ia boleh diusul dan desak Dewan Rakyat supaya pinda perlembagaan.
Ini kerana, katanya, untuk mengubah had tempoh jawatan nombor satu kerajaan itu, ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya bersetuju dengan cadangan tersebut kerana bimbang jika tempoh jawatan tersebut diberikan lebih lama akan mencetuskan kerosakan kepada negara.
“Jangan bimbang, kalau saya tidak mungkin lepas daripada 10 tahun, dua tahun pun sudah penat.
“Tetapi, bukan saya sahaja, malah Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dan PH juga setuju. Tetapi, kita harus bina, itu yang dibincangkan soal rundingan dan kesepakatan.
“Kita kena terangkan dan dengar, kalau ada dua pertiga, ada persetujuan, sesi akan datang kita boleh pinda tetapi jangan bawa usul kalau belum cukup kerana kalau pembangkang apa dia hendak kata pun kita tak boleh percaya, sebab dia boleh ubah. Fatwanya boleh berubah ikut masa,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 di sini, semalam.
Anwar berkata, bagaimanapun proses tersebut tidak mudah seperti dilakukan pindaan melibatkan pemerkasaan wanita berkaitan isu kewarganegaraan dan akta lain iaitu Akta Perkhidmatan Parlimen dan Akta Perolehan.
“Proses pindaan itu tidak mudah, kita mesti dapat kesepakatan kesemua sekurang-kurangnya dua pertiga undi, kena bawa rujuk kepada Raja-Raja Melayu, ada juga beberapa pendirian pandangan mereka yang harus dibawa balik ke Parlimen,” tambahnya.
Anwar menegaskan Kerajaan Madani tidak sesekali mencampuri urusan membuat keputusan oleh badan kehakiman seperti mana dilakukan kerajaan terdahulu.
Bagaimanapun, rundingan tetap berlaku atas prinsip kebenaran dan kelemahan dalam kalangan pimpinan termasuk Perdana Menteri, Jemaah Menteri serta badan kehakiman ketika membuat keputusan.
“Saya hendak tanya, kes mana yang kita campur, keputusan mana yang saya cakap atau bincang dengan hakim. There is absolutely no interference in judicial decision, non what so ever, not even one that I speak to the judges, Ketua Hakim Negara atau pengamal kehakiman.
“Siapa tidak tahu Ketua Hakim Negara ulang-alik ke Pejabat Perdana Menteri. Siapa yang tidak tahu tentang laporan dan petua terhadap kebebasan badan kehakiman dikeluarkan pada tahun 2000, 2001, semua tahu.
“Bagi saya itu penting, kita tak campur, ada beberapa proses lain, kita bincang, harus kita ingat. Ini saya hendak sebut satu hal yang agak kontroversi, itu bukan bermakna Perdana Menteri, menteri semua itu betul. Ataupun ketua hakim dan hakim-hakim semuanya betul. Mesti ada pengawasan, mesti semak dan imbang,” jelasnya.
Anwar berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan dalam Parlimen untuk menjawab kepada rakyat dan tidak boleh menganggap anggota kerajaan bebas dan tidak boleh dipersoalkan kerana yang akan dipersoalkan itu adalah Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam ucapan dasarnya semalam berharap pindaan terhadap Perlembagaan
Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun diharap dapat direalisasikan kerajaan.
Perkara itu terkandung dalam tawaran manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu.
“Kita bukan minta Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti (jadi Perdana Menteri) tetapi kita nak mengadakan satu pindaan ini supaya ia menjadi legasi beliau iaitu membawa reformasi dalam sistem pentadbiran negara.
“Kita menegaskan bahawa DAP komited dalam menyokong Anwar untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya. – UTUSAN