PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu segala keputusan penting dalam mesyuarat Jemaah Menteri mesti disampaikan dengan jelas kepada semua rakyat terutama dalam kalangan penjawat awam.
Perdana Menteri menegaskan, keputusan-keputusan kerajaan itu jangan hanya dibincangkan di peringkat tertinggi, tetapi ia tidak sampai ke akar umbi sekali gus boleh menyebabkan keresahan dalam kalangan penjawat awam khususnya dan rakyat seluruhnya.
Sebagai contoh, kata beliau, kerajaan melaksanakan reformasi perkhidmatan awam menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam yang akan dibahaskan minggu ini dan ia harus diteliti oleh semua penjawat awam.
“Saya minta Ketua Setiausaha Negara sampaikan (RUU ini) dan saya percaya sudah pun dimaklumkan kepada penjawat awam, tetapi kalau boleh dihebahkan lagi kerana di antara pandangan saya yang saya tegur minggu lalu dalam mesyuarat Kabinet ialah kadang-kadang keputusan-keputusan ini tak sampai ke bawah.
“Jadi di bawah itu ada keresahan, keputusan kita dalam Jemaah Menteri itu patut disampaikan dan segala tindakan harus disampaikan bukan sahaja dalam mesyuarat pasca Kabinet tetapi yang dipengerusikan oleh Menteri, Ketua Setiausaha (KSU), Ketua Jabatan tidak hanya terikat dengan urusan jabatan mereka sahaja.
“Iltizam kecekapan perkhidmatan awam itu harus difaham kerana ia terkait dengan tiap tugas penilaian proses kerja, SOP setiap penjawat awam,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bulan Mac 2025, di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan juga bertekad untuk melaksanakan perubahan seperti memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) walaupun pelaksanaannya bukan mudah untuk mengurangkan defisit belanjawan.
Katanya, jika sasaran ini tidak dicapai, ia mesti dibentangkan semula untuk dibahaskan di Parlimen yang mana tidak semua negara berani melaksanakan kaedah ini kerana ia memerlukan tekad politik yang tinggi.
Selain itu, kata Anwar, kerajaan turut akan membentangkan RUU Akta Perolehan Kerajaan bagi memastikan proses tender dan perolehan kerajaan dipatuhi secara konsisten, tidak kira siapa yang memerintah.
“Esok, Insya-Allah, kita akan membentangkan pindaan kepada Akta Perkhidmatan Parlimen bertujuan memastikan pengurusan dan pentadbiran Parlimen bebas daripada perkhidmatan kerajaan.
“Parlimen harus menjadi simbol kebebasan bersuara bagi ahli-ahli Parlimen, tanpa terlalu terikat dengan birokrasi perkhidmatan awam.
“Sudah tentu, pindaan ini memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen, tetapi saya percaya reformasi ini akan membawa perubahan besar kepada sistem demokrasi dan pentadbiran negara kita,” katanya. – UTUSAN