Seronok bila peminat dapat miliki hasil seni saya - Utusan Malaysia

Seronok bila peminat dapat miliki hasil seni saya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka, sebiji manik kecil mampu menghasilkan pelbagai barang perhiasan wanita seperti gelang tangan, rantai, keychain dan juga beg tangan.

Malah, untuk menghasilkan setiap barang perhiasan itu juga perlu mempunyai kemahiran asas serta kreativiti di luar kotak demi mendapatkan rekaan yang menarik.

Seperti pelakon, Zulin Aziz, dia mengakui mula terjebak untuk menghasilkan barang perhiasan yang diperbuat daripada manik itu kerana mahu mengisi masa lapangnya.

Bermula dengan menghasilkan beberapa utas gelang tangan, Zulin tidak sangka koleksi peribadinya itu mendapat perhatian ramai sekali gus membuka peluang untuknya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di media sosial.

“Pada awalnya, gelang manik itu merupakan koleksi peribadi saya sahaja. Saya memang ada simpan stok manik di rumah untuk buat barang perhiasan sendiri seperti keychain dan gelang. Kadang-kadang saya buat dan beri kepada kawan-kawan secara percuma,” katanya kepada Pancaindera.

Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz berkata, seni mencipta barang perhiasan yang diperbuat daripada manik ini juga sudah menjadi trend di luar negara namun, jarang ditemui di Malaysia.

“Seronoknya tentang manik ini, kita boleh jadikan macam-macam benda. Di luar negara seperti Korea dan Jepun, seni manik ini sudah menjadi trend.

“Ada yang membuka gerai kecil untuk pelanggan datang buat sendiri atau DIY. Selain gelang dan keychain, ada juga yang hasilkan beg tangan dari manik ini,” jelasnya.

Kata pelakon yang berusia 36 tahun itu, idea untuk menjual koleksi gelang tersebut tercetus selepas suaminya, Farhan Norzaini yang memberi dorongan dan sokongan kepadanya.

“Idea untuk menjual gelang manik itu mula tercetus apabila peminat sering bertanya saya dan suami saya pun kata lebih baik jual daripada beri kepada rakan secara percuma.

“Bila saya mula menjualnya, saya terus menerima ratusan tempahan sehingga tidak menang tangan untuk membuatnya. Mujur ada kawan yang membantu untuk buat bersama,” katanya.

Enggan mengambil keuntungan berlipat ganda, Zulin mengakui dia hanya menjual gelang tersebut dengan harga mampu milik kerana mahu mengisi masa lapang dengan melakukan hobinya.

“Gelang yang saya jual pun harganya serendah RM30. Pembeli hanya perlu pilih design dan saya buatkan. Saya tidak sangka, dari hobi sekarang benda ini menjadi perniagaan kecil untuk saya.

“Tetapi saya tidaklah serius untuk berniaga. Kita berniaga pun bukan untuk kaya. Ini hanya sekadar mengisi masa lapang ketika bulan puasa dan membuat tempahan sempena raya,” katanya.

Ditanya bagaimana caranya membahagikan masa meskipun sibuk dengan kerjaya seninya, Zulin memberitahu dia sering menyiapkan tempahan seawal subuh dan sementara menunggu waktu berbuka.

“Alhamdulillah, sambutannya diterima dengan baik. Tempahan pun sudah mencecah 300 hingga ke 400. Saya akan buat setiap tempahan itu sementara menunggu waktu berbuka ataupun mula pada tengah malam sehingga ke subuh.

“Kebetulan bulan puasa ini jadual kerja saya juga tidak begitu padat. Bila pulang saja dari program saya akan terus sambung buat perlahan-lahan sehingga kawan saya datang bantu,” ceritanya.

Syukur dengan sambutan yang diterima, Zulin mengakui hobinya itu secara tidak langsung memberi kepuasan lebih-lebih lagi apabila peminat menghargai hasil kreativiti dan seni rekaannya.

Malah, pelakon drama From Saga With Love itu turut memberitahu dia juga mempunyai kemahiran lain seperti melukis, menjahit dan bersolek.

“Saya rasa seronok melihat peminat dapat miliki hasil seni yang saya buat untuk mereka. Saya memang suka­kan seni. Selain membuat gelang manik, saya juga suka melukis, menjahit dan bersolek,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya