'Seribu Tahun Lagi' cedokan intelektualiti hit Seribu Tahun - Utusan Malaysia

‘Seribu Tahun Lagi’ cedokan intelektualiti hit Seribu Tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA menerusi satu lagu berjudul Seribu Tahun beredar 20 tahun lalu, hingga kini, ia masih memberi impak besar dalam katalog muzik Imran Ajmain sebagai penyanyi pop balada Melayu. 

Ada juga beberapa lagu mengukuhkan jenama jejaka kelahiran Singapura itu seperti Selamat Ulang Tahun…Sayang, Dikalung Kasihan, Ghaibmu dan Jika Engkau Pergi yang terhasil dalam satu irama pop galau sentimental serta nostalgia sifatnya. Saya tidak sesekali bosan memutar rangkaian lagunya, kendati seribu tahun hayat dikandung badan dan selagi Tuhan memberi deria pendengaran untuk menghayati seni muzik Imran hasilkan. 

Selain lagu di dalam dua album Dengan Secara Kebetulan (2006) dan Punca dan Tindakan (2009), Sentiasa Merinding (2017) menggandingkan Najwa Mahiaddin dan single Intan dan Perak, bergerak di atas jaluran pop R&B dan hip hop yang cukup feel-nya. Kedua-duanya meletakkan standard bermuzik Imran pada tahap lebih tinggi. Tahun ini, Imran bekerjasama dengan Amylea Azizan menerbitkan lagu mellow, Seribu Tahun Lagi. 

Amylea memang mahir menulis menghasilkan melodi beralir lembut seperti Khilaf Asmara dan Tiada Dirimu (Shila Amzah), Tegar (Farahdhiya), Sandera (Mila Jirin) dan Bukan Cinta (Amylea) Sebagai antara penggerak lagu runut bunyi drama televisyen tempatan, karya Amylea pasti akan memenuhi segenap lapisan pendengar jiwang karat kerana konteks pop balada di Malaysia lazimnya seperti itu. 

Namun, satu hal tidak dapat dinafikan adalah produk Amylea cukup setakat di situ, kerana format baladanya dan instrumennya sama sahaja tanpa bunyi yang mencetus trend atau fenomena muzik negara. 

Bagaimanapun, saya beri pengecualian untuk Seribu Tahun Lagi melihat bagaimana melodinya dengan penggunaan instrumen bertali yang menarik perhatian hanya sekali pendengaran di sepanjang 4 minit 22 saat lagu ini berputar. Seribu Tahun Lagi bergerak sebagai karya pop balada cukup baik dan kemas. 

Milikan vokalnya yang kedengaran lebih ‘seksi’, Imran mempersembahkannya dengan emosi dan penghayatan yang amat mendalam. Secara peribadi, bahagian paling menyentuh adalah alunan di rangkap: “Sebuah lagi cerita yang tamat di sini, Hanya menyiksa relungku, Bahagia takkan berulang kembali”. Liriknya mudah difahami tanpa perlu kiasan dan melodinya semakin berkembang dengan iringan suara penyanyi latar di sepanjang minit 1:58 dan 3:23, memberi satu lagi momentum balada yang tidak boleh dilupakan. 

Di sebalik pujian ini, Amylea harus menelan pahit, kerana walaupun Seribu Tahun Lagi bukan kesinambungan Seribu Tahun terutama melodinya berbeza, namun ia bukan karya asli kerana ‘menumpang’ dan mencedok intelektualiti lagu ciptaan Imran bersama Taufik Batisah. Perhatikan ayat di rangkap akhir kedua-dua lagu: “Jangan putus harapan, sedia setia” dan “Sudah putus harapan cinta aku terhenti di sini”. Tetapi, ini bukan isu besar kerana Imran penyanyi kedua-dua lagu ini.

Sekalipun Amylea berbangga jika lagu ini hits dalam pasaran tempatan, dia harus sedar, preseden Seribu Tahun sudah ada sejak 20 tahun lalu dan mengapa ia harus direka ulang walau ilhamnya berlainan? Benar, penulisan kreatif itu sifatnya subjektif. Sesiapa pun berhak menulis dan memiliki, namun, ilhamnya perlu berdiri sendiri dan tidak seharusnya dibayangi karya 20 kali ganda lebih popular. 

Bagaimanapun, saya percaya, Seribu Tahun Lagi punya peluang meneruskan lagu-lagu galau yang akan mengikat pengikutnya termasuk saya. Lagu ini secara keseluruhan seimbang kerana Imran didorong pasukan produksi mahir dari segi rakaman, kejuruteraan bunyi, suntingan vokal dan proses penggabungan sehingga membentuk satu kesatuan yang harmoni dan menenangkan. Sesiapa pun mendengar lagu ini pasti tersentuh secara spiritual.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya