PETALING JAYA: Serangan berdarah sehingga meragut lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang secara jelas melindungi petugas kemanusiaan dalam zon peperangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, serangan terhadap mereka yang berusaha menyampaikan bantuan kemanusiaan adalah jenayah yang tidak boleh diterima dan perlu dikecam oleh seluruh masyarakat dunia.
“Dunia tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan ini, yang hanya menambah penderitaan rakyat Palestin yang sudah sekian lama tertindas.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan ini yang jelas melanggar prinsip asas kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Sabtu lalu, lapan petugas kemanusiaan MAPIM maut dalam serangan udara oleh rejim Israel di Beit Lahiya, utara Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, serangan berlaku pukul 1.30 tengah hari, ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan Israel.
Lapan petugas kemanusiaan terkorban dikenal pasti Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad dengan semuanya ialah warga Palestin.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, meminta umat Islam juga perlu bersatu dalam menyalurkan sumbangan dan bantuan kemanusiaan untuk meringankan bebanan rakyat Palestin yang kini semakin terhimpit dengan kezaliman yang berterusan.
“Semua umat Islam di negara ini diminta terus berdoa serta membaca Doa Qunut Nazilah demi kemenangan Palestin dan terus memberi sokongan terhadap perjuangan mereka.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin serta semua petugas kemanusiaan yang berjuang demi membantu mereka,” katanya. – UTUSAN