PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bertekad meneruskan bantuan di Gaza, walaupun berlaku serangan berdarah sehingga meragut lapan petugas kemanusiaan organisasi tersebut.
Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, serangan itu juga sama sekali tidak mematahkan semangat anggotanya untuk terus membantu menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin.
Malah, katanya, pelbagai rancangan dan projek pembangunan serta pendidikan untuk rakyat Palestin akan dilaksanakan, walaupun berdepan pelbagai cabaran besar.
“Mapim bertekad dan komited untuk meneruskan usaha murni ini demi kesejahteraan rakyat Palestin.
“Terdapat beberapa inisiatif yang sedang dirancang seperti Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza dengan melibatkan pembinaan 14 unit apartmen yang menyediakan 224 unit kediaman untuk keluarga di Gaza, di samping projek lain seperti pembinaan 1,000 khemah penempatan mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sabtu lalu, lapan petugas kemanusiaan Mapim terbunuh dalam serangan udara kejam dilakukan rejim Zionis Israel di Beit Lahiya, utara Gaza.
Insiden berlaku pada pukul 1.30 petang (waktu Gaza) ketika para petugas sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan.
Tambah Mohd. Azmi, Mapim telah menubuhkan sekretariat serantau yang berfungsi sebagai pusat strategik untuk memudahkan kerjasama antara organisasi kemanusiaan antarabangsa, kerajaan dan pihak berkepentingan lain dalam usaha pembangunan semula Gaza.
Tegasnya, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diminta mengambil tindakan tegas terhadap Israel dan menuntut gencatan senjata segera bagi menghentikan pembunuhan berterusan rakyat Palestin yang tidak berdosa.
“Kita juga menyeru masyarakat dunia untuk bangkit menentang kezaliman dan tidak membiarkan Israel terus melakukan keganasan tanpa sebarang tindakan balas,” jelasnya. – UTUSAN