Seragam kenaikan pangkat pensyarah supaya telus, adil

Seragam kenaikan pangkat pensyarah supaya telus, adil

DR. AHMAD ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pengurusan universiti perlu menilai semula kriteria kenaikan pangkat pensyarah agar proses itu lebih telus dan adil.

Presiden Kongres Persatuan Aka­demik Malaysia (MAAC), Prof Dr. Ahmad Ismail berkata, kriteria kenaikan pangkat pensyarah kepada profesor madya dan profesor perlu dilihat secara teliti dan diseragamkan yang boleh menggambarkan kesarjanaan sebenar mereka.

Jumlah pensyarah institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara pada tahun 2023 adalah 31,631 terdiri daripada 30,432 rakyat tempatan manakala 1.199 warga asing.

Beliau berkata, peranan me­reka dalam pengajaran, memberi syarahan berkesan dalam bidang kepakaran mesti terserlah sekali gus menarik minat pelajar mendalami bidang yang diajar.

Katanya, penyelidikan yang berkualiti bukan sekadar menerbitkan dalam jurnal tetapi memberikan impak kepada ma­syarakat dan negara.

“Misalnya tidak adil sekiranya profesor setakat menulis artikel dalam jurnal berbayar tetapi profesor berkenaan tidak mempu­nyai makmal yang boleh dirujuk atau membina jaringan.

“Pengurusan universiti mesti melihat segera ketidakadilan seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ahmad berkata, kriteria kenaikan pangkat yang disediakan dapat memberikan penghormatan sama kepada semua profesor di semua universiti iaitu tidak hanya setakat pangkat tetapi turut diiktiraf sebagai ilmuwan dalam bidang masing-masing.

Jelasnya, lima peranan utama pensyarah dalam pengajaran, penyeliaan, penyelidikan, penerbitan dan pengembangan mesti berjalan selari mengikut nisbah sesuai dalam kriteria kenaikan pangkat.

Baru-baru ini, KPT menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji beban kerja ahli akademik termasuk mengkaji semula dasar dan tahap kenaikan pangkat di setiap universiti yang jelas ketara berbeza antara IPT sedia ada.

Langkah ini demi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih fleksibel dan menyokong bagi ahli akademik, khususnya di universiti awam.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, pihaknya menyambut baik keprihatinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir tentang laluan kerjaya pensyarah dengan menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji bebanan pensyarah itu.

Katanya, sebagai sebuah negara yang ingin maju secara menyeluruh, kualiti ahli akademik sangat penting yang mana mereka terpilih dalam kalangan yang cemerlang dari segi akademiknya dan perlu diberi peluang berterusan untuk meningkatkan ilmu melalui penerokaan ilmu sepanjang kerjaya mereka.

“Laluan kerjaya dalam pengajaran, penyelidikan, pengembangan seperti memasyarakat ilmu pelu diberikan lebih kebebasan untuk memberikan impak yang signifkan kepada kerjaya mereka.

“KPT dan universiti mesti meneliti semula beban kerja, peluang meningkatkan ilmu seperti jaringan industri, sabatikal dan lain lain.

“Apabila beban kerja bertambah atau tak sesuai, maka akan wujud tekanan. Prosedur kerja macam robot perlu dielakkan. Pensyarah perlu lebih bebas dalam pengajaran bidang kepakaran sesuai dengan pelajar dewasa dan bukan seperti pelajar sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya