KUALA LUMPUR: Semua pihak berkepentingan sepakat menolak penglibatan dana asing untuk membiayai mana-mana parti politik di negara ini.
Pendirian itu dinyatakan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM), Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi dalam sesi libat urus berkaitan penetapan dasar bagi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua pihak terlibat setuju derma asing, pengaruh asing hanya akan menyebabkan pemimpin negara boleh dikawal dari luar.
“Bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terdapat pandangan berbeza dalam jawatankuasa pilihan dan Kumpulan Parlimen Semua Parti Malaysia (APPGM) mengenai sejauh mana pengaruh mereka.
Kita juga mesti mempertimbangkan garis masa derma, sama ada ia berlaku menjelang pilihan raya atau sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus berkaitan penetapan dasar bagi penggubalan RUU Pendanaan Politik di sini, semalam.
Libat urus yang turut disertai 68 parti politik membabitkan Setiausaha Agung parti, di mana masing-masing melontarkan pandangan dan idea yang perlu dimasukkan dalam RUU berkenaan.
Dalam pada itu, Azalina berkata, RUU Pendanaan Politik perlu diperhalusi lebih teliti sebelum dikuatkuasakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Menurut beliau, pihaknya perlu mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan, malah bukan daripada ahli politik semata-mata.
“Semua itu kita kena kaji. Adakah undang-undang ini boleh diluluskan sebelum sesi Parlimen akan datang? Ia akan menjadi sukar jika terdapat begitu banyak perkara yang mereka mahu, melainkan kita buat mengikut peringkat demi peringkat seperti yang disebutkan tadi.
“Tetapi saya juga tidak tahu sama ada Kabinet mahu meneliti peringkat negeri dahulu, cuma kita perlu menilai. Saya secara serius tidak boleh maklumkan sekarang. Umpamanya, kita semua tahu terdapat begitu banyak resipi untuk membuat kek, yang merupakan resipi terbaik. Jadi kita kena buat keputusan,” katanya.
Azalina berkata, ada tiga aspek penting yang perlu ditekankan iaitu parti politik, ahli politik dan kempen pilihan raya.
“Jadi, ini adalah tiga peringkat derma yang biasanya berlaku. Kadang-kadang ada yang tidak bertanding untuk pilihan raya, tetapi mendapat wang kerana mereka menyokong visi seseorang itu sebagai parti atau mereka menyokong sebagai seorang individu. Jadi, kita perlu kaji dari semua sudut.
“Jadi, hari ini (semalam) kita berjumpa dengan Setiausaha Agung parti sebagai permulaan pertama. Kemudian kita akan mendapatkan badan bebas untuk melakukan lebih banyak kajian berdasarkan isu yang telah dibangkitkan,” katanya.
Azalina juga bercadang mengadakan jelajah di seluruh negara bagi mengumpul segala maklumat dan maklum balas daripada orang ramai mengenai cadangan RUU Pendanaan Politik itu.
“Jadi, jelajah yang akan kami lakukan adalah sangat penting sekarang. Saya mahu melihat lebih ramai orang ramai memberikan maklum balas, tidak semestinya daripada ahli politik walaupun undang-undang akan lebih menguntungkan ahli politik,” katanya.
Sebelum ini, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Azalina memaklumkan sehingga Februari 2025, sebanyak lapan sesi libat urus telah diadakan, termasuk lima sesi bersama wakil parti politik dan agensi kerajaan serta tiga mesyuarat dengan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
Tambahnya, pada 10 Februari lalu, JKPK telah mengemukakan maklum balas mengenai penambahbaikan skop rang undang-undang itu.
Jelas Azalina lagi, terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara, seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik. – UTUSAN