Seorang maut, tujuh cedera kemalangan 10 motosikal di WCE - Utusan Malaysia

Seorang maut, tujuh cedera kemalangan 10 motosikal di WCE

KEADAAN motosikal yang terlibat kemalangan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dekat Lumut. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Tindakan sekumpulan remaja menunggang motosikal beramai-ramai pada awal pagi di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dekat sini, membawa padah apabila seorang daripadanya maut manakala tujuh lagi cedera selepas berlaku pelanggaran semasa mereka.

Dalam kejadian tengah malam kelmarin di Kilometer 221.5 arah selatan itu, seorang remaja berusia 18 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihak polis menerima maklumat kejadian kira-kira pukul 1 pagi mengenai kemalangan melibatkan 10 motosikal dan sebuah treler.

“Siasatan awal polis mendapati motosikal ditunggang remaja 18 tahun itu dipercayai hilang kawalan dan merempuh belakang treler yang bergerak perlahan di laluan kecemasan.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang dan motosikalnya tercampak di laluan utama sebelum dirempuh sembilan motosikal lain,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan tujuh penunggang tersebut berusia 18 hingga 23 tahun cedera dan dirawat di Hospital Seri Manjung.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Inspektor Mohd. Fahrulrazhi Zakaria di talian 012-4433441. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya